
Ada yang menggelarnya “fenomena” memandangkan pengaruh budaya K-pop di Malaysia yang semakin berkembang, khasnya di kalangan orang muda.
Kewujudan kelab peminat tempatan dan belia yang belajar bahasa Korea semata-mata untuk berkomunikasi dengan bintang K-pop ketika sesi perjumpaan peminat.
Malah, ada yang sanggup terbang ke Korea untuk menonton konsert di sana.
Persoalannya, kenapa anak muda lebih berminat dengan artis luar negara berbanding bakat tempatan.
Seorang pengikut setia K-pop dan bekas penulis hiburan, Faie Kimi, 34, berkata terlalu banyak gosip tidak perlu tersebar mengenai artis tempatan.
“Saya tidak kata mereka sempurna, tetapi tidak banyak skandal dan gosip mengelilingi artis Korea. Secara keseluruhan, mereka menonjolkan imej positif.
“Tidak banyak watak unik dalam arena muzik tempatan. Bukannya anak muda Malaysia tidak berminat, tetapi terdapat kekurangan bakat tempatan yang setanding artis antarabangsa.”
Satu lagi alasan diberikan Faie ialah layanan baik artis K-pop kepada peminat mereka berbanding artis tempatan.
“Itu sebabnya ramai tertarik dan menjadi peminat setia. Artis menghargai peminat mereka dan berusaha menganjurkan sesi perjumpaan peminat.
“Bagi saya, saya tertarik kepada budaya K-pop kerana perasaan positif dan ceria yang mereka sentiasa tonjolkan.
“Ini membuatkan saya berminat mempelajari bahasa baharu. Malah, saya juga tertarik kepada pertumbuhan ekonomi mereka, bagaimana mereka cemerlang dalam kerja dan negara yang dahulunya ketinggalan di belakang Malaysia, hari ini mereka menjadi satu daripada negara maju dalam teknologi.”
Tambahan, katanya, terdapat pemikiran sempit di kalangan rakyat Malaysia.
Sehubungan itu, timbul kenyataan kontroversi terhadap tindakan sejumlah peminat di Kuala Lumpur mengadakan upacara memperingati bintang K-pop, Jong Hyun yang dipercayai membunuh diri akibat kemurungan, ketika beliau popular.
“Di Malaysia, semua tak boleh. Tidak hairan belia mengalihkan perhatian mereka kepada artis negara lain.”

Namewee perlu menunjukkan bakatnya di luar negara
Penjelasan Faie mungkin memberi gambaran kurang sokongan untuk bakat tempatan dengan Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini “menolak” penyanyi tempatan popular, Namewee.
Namewee yang memulakan siri konsert “4896 jelajah dunia” baru-baru ini memuat naik satu klip video menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan kerajaan menolak permohonan menganjurkan konsertnya.
Dalam video itu, Namewee berkata, beliau dan penganjur konsertnya mengemukakan permohonan kepada kementerian itu untuk mendapatkan kebenaran menganjurkan konsert, baru-baru ini.
Bagaimanapun, beliau mendakwa pegawai kementerian memaklumkannya supaya “tidak menyerahkan” permohonan.
“Mereka tidak tolak saya secara langsung. Sebaliknya, mereka meminta saya tidak menyerahkan permohonan kerana menurut mereka, jika saya menyerahkan permohonan dan mereka perlu menolaknya, ia menjadi janggal.
“Mereka beritahu saya sesuatu yang ‘besar’ akan berlaku antara Februari dan April, jadi tidak sesuai untuk mengadakan sebarang konsert nanti.
“Oleh itu, mereka kata lebih baik jika kami tidak menyerahkan borang itu.”
Sebutan nombor “4896” dalam bahasa Hokkien bermakna “sangat kuat dan hebat”.
Bagaimanapun, beliau pelik apabila hasil semakan di internet mendapati artis K-pop, penyanyi Taiwan seperti Jay Chou dan penyanyi Hong Kong, Jacky Cheung akan datang ke Malaysia pada Januari dan Februari nanti.
“Saya tidak faham kenapa mereka tidak benarkan saya serah permohonan. Jadi, kesimpulannya konsert saya tidak akan diadakan di Malaysia.
“Saya sangat kecewa kerana saya benar-benar mahu kembali dan menemui semua rakan saya.
“Jadi, bagi anda yang mahu menyokong persembahan saya, anda boleh datang ke hentian ke-2 saya di Singapura (3 Februari 2018).
“Saya akan mengadakan konsert di negara lain, tetapi ia jauh dari Malaysia, jadi Singapura paling dekat.”
Namewee berkata, konsertnya di Taipei mendapat sambutan baik.
Katanya, beliau tidak kisah jika rakyat mahu menunggu sehingga permohonannya diluluskan, tetapi beliau tidak pasti jika kelulusan konsertnya di Malaysia boleh mendapat kelulusan.
“Saya tidak kisah jika rakyat Malaysia mahu menunggu, tetapi saya betul-betul tidak tahu bila ia akan diadakan dan kami tidak boleh menyerahkan borang itu.
“Saya tiada dalam negara sejak 2 tahun lalu, bekerja keras mempromosikan Malaysia.
“saya harap kerajaan Malaysia tahu apa yang saya lakukan. Tolong jangan adili saya berdasarkan prasangka. Tolong berhenti melabel saya.
“Saya rasa semua orang perlu mempunyai kebebasan bersuara dan diberikan ruang untuk menyuarakan pendapat mereka.
“Saya harap kerajaan akan meluluskan konsert saya. Sekurang-kurangnya mereka belum menolak saya. Ada kebaikan di mana-mana.”
Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee ialah penyanyi rap, komposer dan pengarah filem kelahiran Muar yang berusia 34 tahun.
Beliau mula terkenal pada 2007 selepas menerbitkan lagu kontroversi bertajuk “Negarakuku” yang menghina lagu kebangsaan.
Namewee terkenal dengan video muziknya berkaitan hal ehwal semasa di Malaysia.
Beliau pernah ditahan kerana sensitiviti lirik lagunya, tetapi tiada dakwaan dikenakan ke atasnya.
Beberapa tahun kebelakangan ini, beliau menghasilkan filem termasuk karya pertamanya, Nasi Lemak 2.0.
Beliau dipelawa bekerjasama dengan penyanyi terkenal Taiwan seperti Leehom dan G.E.M.
Kegagalan permohonannya untuk mengadakan konsert 4896 bukan kali pertama beliau ditolak kerajaan Malaysia kerana filem Banglasia yang dikeluarkan pada 2013 turut diharamkan di Malaysia. Tayangan perdana filem itu terpaksa ditukarkan ke Singapura.
Namewee mungkin bukan artis arus perdana, tetapi bakat tempatan seperti beliau yang mencipta sub budaya di kalangan generasi muda.
Malangnya, inilah “nasib” bakat baharu. Secara tidak langsung, faktor negatif seperti itu yang menghalang anak muda daripada “melaburkan” masa dan minat mereka terhadap bakat tempatan.