Penjawat awam didenda RM140,000 pindah kuarters, tukar tempat kerja

Penjawat awam didenda RM140,000 pindah kuarters, tukar tempat kerja

Azih Muda berkata, ada di kalangan penjawat awam itu langsung tidak tahu mengenai penalti yang dikenakan ke atas mereka.

Azih-Muda
Azih menunjukkan notis merah penalti yang dikeluarkan Bahagian Pengurusan Hartanah kepada penjawat awam.
KUALA LUMPUR:
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa campur tangan Datuk Seri Najib Razak bagi membantu kira-kira 500 penjawat awam yang dikenakan penalti kerana berpindah dari kuarters atau bekerja di luar radius 25km dari kuarters.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, ada di kalangan ahlinya dikenakan penalti tinggi mencecah RM140,000 sejak 2012 oleh Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“BPH di bawah Jabatan Perdana Menteri menuntut penalti tinggi daripada penjawat awam yang menghuni kuarters di Kuala Lumpur dan Putrajaya selepas diarah bertukar.

“(Contohnya) penghuni kuarters Kuala Lumpur diarah bertukar ke Putrajaya, walaupun masih dalam radius 25km atau lebih sedikit daripada radius 25km (mereka) dikenakan penalti yang teruk,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Cuepacs hari ini.

Beliau berkata, ada di kalangan kakitangan kerajaan itu yang langsung tidak dimaklumkan mengenai penalti berkenaan.

“Kita nak nyatakan rasa kesal kerana mereka ini tidak diberitahu awal, seumpamanya dalam perjumpaan tahunan, berkala, notis atau pemberitahuan serupa kepada penghuni kuarters apabila pertukaran berlaku, penempatan semula atau apa-apa melibatkan perubahan tempat kerja.”

Beliau meminta bantuan perdana menteri supaya ahlinya dikecualikan penalti itu.

“Tidak ada lagi isu pertukaran tempat kerja dalam radius 25km atau lebih sedikit, tetapi masih berada di Kuala Lumpur nak dikenakan caj apabila menghuni kuarters.

“Kita berkhidmat di bawah kerajaan sama. Kita berharap pengumuman pembatalan tunggakan sewa penghuni kuarters ini akan dibuat sebelum fajar 1 Januari 2018.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.