
Iman dilaprkan sangat uzur pada 17 Disember lepas, selepas mengalami pendarahan akibat barah leiomioma dalam rahim (uterine leiomyoma tumours) sejak 3 hari lalu.
“Iman belum pulih terutamanya pendarahan dari dalam rahim,” kata Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga dalam kenyataan hari ini.
“Masalah dehidrasi dan sembelit yang dialaminya berjaya ditangani.”
Augustine berkata selera makan Iman bertambah baik tetapi masih sedikit.
“Dia makan kira-kira 5kg sehari, iaitu kira-kira 20% daripada pemakanan normal,” katanya.
“Dia mula makan buah-buahan dalam jumlah kecil. Kita mula masukkan sedikit ubat ke dalam buah-buahan itu untuk cuba menghentikan pendarahan.”
Menurut pengarah, Iman membuang air kecil beberapa kali sehari tetapi hanya membuang air besar sekali dalam 1-2 hari.
“Dia minum banyak air dan penokok diet. Dia bersuara lebih baik, dan itu perkembangan yang bagus.
“Harap dia makan lebih banyak esok,” kata Augustine.
Iman, yang dipelihara di Rizab Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu adalah badak sumbu Sumatra terakhir selepas Puntung, meninggal dunia pada Jun.
Puntung, yang menarik perhatian dunia selepas melalui pembedahan gigi oleh pasukan antarabangsa di rizab itu mengalami karsinoma sel skuamus (squamous cell carcinoma), sejenis kanser kulit.
Genome keempat-empat badak sumbu Sumatra terakhir di Malaysia, termasuk Puntung, disimpan dalam kultur sel hidup, di luar dan dalam negara