
“Berdasarkan siasatan kita akan melihat adakah keperluan untuk memanggil beliau,” kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun lapor Sinar Harian.
Fuzi berkata, polis sudah menerima laporan dan siasatan sedang dijalankan.
Jumaat lalu, polis mengumumkan penubuhan pasukan khas pada 13 Disember lalu untuk menyiasat kes kehilangan hak Felda ke atas tanahnya.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan, iaitu penipuan serta pemalsuan dokumen.
Kes transaksi tanah Felda bernilai RM270 juta di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, dilaporkan berlaku tanpa Felda menerima sebarang wang daripada syarikat yang membeli tanah itu.
Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad “terpegun” pindah milik tanah institusi kerajaan boleh dilakukan begitu mudah. Beliau mula menyedari perkara itu pada akhir Januari.
Isa nafi cuba mengelakkan wartawan yang mahu mendapatkan komennya bagi mengulas isu berkenaan, dan berkata beliau sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.
“Setakat ini, polis belum panggil saya, biar polis jalankan tugas. Tetapi, saya sedia beri kerjasama sekiranya polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) panggil,” katanya baru-baru ini.
Pada 21 Disember lalu Berita Harian mendedahkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, dianggarkan bernilai RM270 juta, apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.
Tanah itu sedang dimajukan untuk membina Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), sebuah projek bernilai tinggi membabitkan 7 menara.
Menurut akhbar itu, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan Felda memberikan surat kuasa wakil penuh kepada syarikat itu bagi membangunkan tanah itu.
Tanah itu kemudian didapati dipindah milik kepada syarikat itu sejak Disember 2015, dan satu lot daripada tanah terlibat didapati ditukar nama kepada sebuah syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama pada 21 Julai 2016.
Isa dilantik sebagai pengerusi Felda mulai Januari 2011 hingga Januari 2017; pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai Januari 2011 hingga Jun 2017 serta pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada Julai 2013 sehingga Ogos 2017.