Polis tahan 13 individu dalam kes bunuh-gilis JB

Polis tahan 13 individu dalam kes bunuh-gilis JB

Ketua polis Johor berkata, 4 lagi lelaki ditangkap Pasukan Siasatan Khas PDRM di Johor hari ini.

Mohd-Khalil-Kader-Mohd-bunuh-gilis-jb
PETALING JAYA: Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, 4 lagi suspek ditahan di sekitar Johor bagi membantu siasatan kes membunuh dan menggilis seorang lelaki berusia 40-an sehingga mati di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, Johor Bahru, Ahad lalu.

“Terkini, pada 21 Disember 2017 seramai 4 lelaki Cina ditangkap di kawasan Johor oleh Pasukan Siasatan Khas PDRM, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan setakat ini seramai 13 orang.

“(Ia) melibatkan 9 lelaki Cina dan 4 perempuan Cina berumur dalam lingkungan 16 hingga 26 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini membenarkan perintah reman 7 hari, mulai hari ini ke atas 6 individu, termasuk seorang wanita berusia 19 tahun bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Khalil berkata, siasatan masih diteruskan untuk mengesan beberapa lagi suspek yang dikehendaki.

Dalam kejadian 7.30 malam Ahad lalu, mangsa berumur 40-an itu mati di tempat kejadian selepas ditikam, dilanggar dan digilis kereta dinaiki 4 lelaki.

Ketika kejadian, mangsa dan isterinya sedang mengisi angin tayar kenderaan mereka di stesen minyak terbabit.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan kejadian itu berpunca daripada perselisihan 2 kumpulan kongsi gelap.

Kes bunuh-gilis JB: 6 individu direman

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.