
Hu merupakan warga Singapura yang sering berulang alik ke Johor Bahru.
Kebimbangan yang diutarakan Hu merujuk kejadian ngeri dan kejam di sebuah stesen petrol Shell di Taman Pelangi, Johor Bahru pada Ahad lepas.
Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an mati selepas ditikam dan dilanggar sekumpulan 4 lelaki menggunakan sebuah kereta jenis BMW.
Ketika kejadian, lelaki itu bersama seorang wanita warga asing berusia 20-an yang dipercayai isterinya sedang mengisi angin tayar kereta di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi, Johor Bahru.
Polis berkata, 4 suspek yang terbabit dalam kes itu sudah dikenal pasti dan hasil siasatan mendapati kereta BMW 520i yang dinaiki mereka menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Kebimbangan seperti yang diutarakan Hu mengenai keselamatannya adalah sesuatu yang boleh menjejaskan sektor pelancongan Johor, yang banyak dikunjungi rakyat Singapura, terutama pada musim cuti sekolah Disember.
Penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim mengingatkan kembali kenyataan yang pernah dikeluarkan mendiang Lee Kuan Yew, perdana menteri pertama Singapura, yang mencetuskan perang mulut antara Malaysia dan republik itu 20 tahun lalu.
Pada 1997, Lee dalam afidavit di mahkamah mengenai samannya terhadap seorang ahli politik, mempersoalkan seterunya yang mahu mendapatkan perlindungan di Johor, sambil menyifatkan negeri itu dipenuhi kejadian jenayah seperti “tembak-menembak, rompakan dan rampasan kereta”.
Lee kemudian memohon maaf atas kenyataan itu.
Bagaimanapun, Shahul berkata apa yang diucapkan Lee ketika perlu diambil serius oleh pihak berkuasa.
“Mungkin dia mengkaji sesuatu benda. Mungkin dia dah nampak, mungkin dia tidak mahu memalukan atau menjatuhkan Johor dan sebagainya,” kata Shahul ketika diminta mengulas kejadian jenayah terbaru yang mengejutkan selurh negara.
Shahul berkata apa yang berlaku sudah tentu akan memberi kesan terhadap pelancongan.
“Pelancong-pelancong asing takut. Ia membimbangkan masyarakat untuk keluar, sebab tindakan ini adalah luar biasa yang dilakukan orang (pembunuh) tersebut,” kata bekas pengarah Akademi Imigresen Malaysia itu kepada FMT.
Shahul menggesa polis mengambil tindakan drastik bagi menghalang kejadian sama berulang.
“Pihak polis kena ambil tindakan sedrastik mungkin untuk membawa (penjenayah) ke muka pengadilan.
“Kalau tidak, nanti ia akan menjadi satu contoh, sebab dah viral. Kaki-kaki buli, samseng jalanan itu akan ambil tindakan serupa nanti. Jadi bertambah buruk, bukannya viral dijangka bertambah baik tetapi bertambah buruk.”