Selepas PAS dan Umno, kini giliran PH protes di kedutaan AS

Selepas PAS dan Umno, kini giliran PH protes di kedutaan AS

Lebih 500 penyokong PH dan beberapa NGO mula berarak dari depan Bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak ke kedutaan AS, selepas selesai menunaikan solat Jumaat hari ini.

harapan-protes1a
Penyokong Pakatan Harapan serta beberapa NGO membawa sepanduk dan poster ketika berarak dari depan Bangunan Tabung Haji ke kedutaan AS di Jalan Tun Razak.
KUALA LUMPUR:
Seminggu selepas PAS dan Umno mengadakan bantahan, kini giliran Pakatan Harapan (PH) memprotes di luar kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak bagi mengecam kebiadaban Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Lebih 500 penyokong PH dan beberapa NGO mula berarak dari depan Bangunan Tabung Haji ke kedutaan AS, selepas selesai menunaikan solat Jumaat hari ini.

Mereka berarak sambil melaungkan “Allahuakbar” bersama slogan “Hidup Palestin” dan “Merdeka Palestin”. Ada pula yang membawa sepanduk “Selamatkan Palestin” serta “Hancur Zionis”.

Bantahan itu turut disertai beberapa pemimpin PH termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyidin Yassin, Mohamad Sabu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Salahuddin Ayub, Khalid Samad, Datuk Mujahid Yusof Rawa, Nik Nazmi Nik Ahmad, Tian Chua dan Liew Chin Tong.

palestine-pr

Hampir 200 anggota polis, termasuk Pasukan Tindakan Ringan (LSF) menutup kawasan di depan kedutaan AS, tetapi berlaku insiden tolak-menolak antara polis dan peserta bantahan itu.

Kumpulan itu kemudiannya menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan AS di Malaysia.

Selasa lalu, Dr Mahathir menyarankan Datuk Seri Najib Razak yang pernah mengaku rapat dengan Trump, mengetuai pemimpin negara Islam lain menemui presiden AS itu bagi memujuknya menarik balik keputusan mengiktiraf Baitulmaqdis milik Israel.

Beliau “yakin” perdana menteri dapat memujuk Trump untuk menarik balik keputusannya.

Rabu lalu, Najib dilaporkan berkata, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu bersatu dalam usaha menolak sebarang langkah mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, sebaliknya Baitulmaqdis hendaklah menjadi ibu negara Palestin.

Katanya, Malaysia mengutuk dan menolak sama sekali keputusan sebelah pihak oleh AS untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Pada 5 Disember lalu, Trump menyampaikan hasratnya kepada pemimpin Arab untuk memindahkan kedutaan AS di Israel ke Baitulmaqdis, keputusan itu mengundur semula dasar berdekad lama Washington dan berisiko mencetuskan keganasan di Timur Tengah.

WhatsApp Image 2017-12-15 at 15.19.18

Dr M: Sebagai ‘kawan baik’, Najib boleh pujuk Trump isu Baitulmaqdis

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.