Di sebalik kesempitan hidup, kedai baju bundle semakin laris

Di sebalik kesempitan hidup, kedai baju bundle semakin laris

RM1 bagi sehelai baju memang berbaloi.

Pemilik kedai baju terpakai, Mohd Nor Mazlan kini mampu menjual kira-kira 4 tan pakaian sebulan.
Pemilik kedai baju terpakai, Mohd Nor Mazlan kini mampu menjual kira-kira 4 tan pakaian sebulan.
PETALING JAYA:
Tanpa mengira hujan atau panas, setiap hari, Siti Salwa Aziz, 24, berulang alik menaiki kapcai dari kediaman keluarganya di Shah Alam ke pejabatnya di Pusat Bandar Damansara.

Dengan purata kos bahan api sekitar RM3 sehari, dia mampu mendapatkan penjimatan kira-kira RM27 sehari berbanding bergerak menggunakan kereta untuk ke tempat kerja di samping tidak perlu membayar parkir kereta dan tol.

Eksekutif periklanan itu juga menggunakan perbelanjaan minimum untuk pakaian harian dengan membeli pakaiannya di kedai baju RM1 di Kota Damansara yang dikunjunginya setiap malam minggu.

“Setiap minggu saya habiskan kira-kira RM10 di kedai baju RM1, saya dapat baju murah, berjenama dan banyak dengan jumlah itu berbanding membeli pakaian baharu di pusat membeli belah,” katanya kepada FMT.

Anak jati Johor itu berkata, dengan kenaikan kos sara hidup hari ini, kehidupan di bandar besar seperti di Lembah Klang memerlukan setiap individu itu bijak dalam pengurusan kewangannya.

“Kalau saya beli kereta, memang akan nampak selesa, mewah. Tapi saya akan menanggung kos bayaran bulanan, minyak, tol dan penyelenggaraan. Itu semua gunakan duit.

“Jadi penyelesaian saya adalah saya beli motorsikal, dan gunakannya untuk bergerak ke tempat kerja. Kalau hari itu hujan lebat, saya gunakan perkhidmatan Uber atau Grab, kadang-kadang saya gunakan pengangkutan awam,” katanya.

Disebabkan pelanggan seperti Siti Salwa, pemilik kedai pakaian terpakai, Mohd Nor Mazlan mendapati dirinya semakin sibuk di sebalik sambutan hangat daripada mereka yang memilih untuk membeli pakaian “bundle”.

Pada awalnya, Nor, 33, memperkenalkan kedai pakaian RM1 di Kota Damansara bagi memberikan pilihan kepada penduduk sekitar mendapatkan pilihan pakaian pada harga yang murah.

“Budaya rakyat Malaysia adalah mahukan yang berkualiti dan murah, ‘bundle’ adalah pilihan yang ada, pakaian murah dan berkualiti dari luar negara dan dijamin pakaian berjenama asli dan bukannya tiruan.

“Saya kemudian menyedari ramai pelanggan saya terdiri daripada kalangan pelajar-pelajar yang datang membeli baju RM1,” kata bapa kepada seorang anak dari Negeri Sembilan itu.

Nor berkata, akibat peningkatan kos sara hidup yang turut dirasainya, perniagaan mula berkembang apabila bermula dengan 200kg pakaian di awal pembukaannya, selepas 5 bulan, beliau kini mampu menjual kira-kira 4 tan pakaian sebulan.

“Bagi pakaian murah dan berkualiti, RM1 bagi sehelai baju memang berbaloi,” katanya.

Norseela Mazlan, 35, kakak kepada Nor yang turut membantunya di kedai pakaian itu turut mengesahkan terdapat pelanggan mereka yang bersyukur dengan perniagaan yang diusahakan keluarganya itu.

“Ada pelanggan kami yang kata mereka bersyukur kami buka kedai baju ini, mereka kata RM1 tak dapat beli makanan tapi mereka dapat beli baju.

“Mereka akan datang beramai-ramai membawa 1 keluarga dan borong pakaian di kedai kami,” kata ibu kepada 3 anak itu.

Nor berkata, walaupun pakaian yang dijualnya hanya berharga RM1, beliau mampu menjana pendapatan kasar sehingga 5 angka setiap bulan.

Malah, bermula Januari 2018, dia akan membuka sebuah lagi kedai pakaian RM1 bersebelahan premis asalnya dengan sasaran 6 tan pakaian setiap bulan untuk dijual.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.