Bunuh, bakar 4 sekeluarga, lelaki OKU ditahan

Bunuh, bakar 4 sekeluarga, lelaki OKU ditahan

Berdasarkan siasatan awal, motif kejadian disebabkan masalah kewangan seperti hutang dan berlaku pertelingkahan di rumah mangsa sebelum kejadian.

tanjung-sepat
KUALA SELANGOR: Polis percaya kes bunuh dan bakar 4 sekeluarga di Tanjung Sepat, Kuala Langat, Rabu lepas, berjaya diselesaikan dengan penahanan seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) di Taman Pusat Kepong, Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata suspek berusia 38 tahun yang merupakan OKU pekak dan bisu ditahan di sebuah rumah kedai pada 1.00 pagi tadi.

Suspek direman selama seminggu bermula hari ini.

“Sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Berat, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor menyerbu rumah kedai itu berdasarkan maklumat risikan suspek menetap di situ dan telah menerima rawatan di sebuah klinik swasta.

“Soal siasat awal dijalankan dan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah, mengaku terlibat dalam kes ini. Lelaki itu yang bekerja di sebuah kilang perabot di Kepong merupakan teman lelaki kepada anak perempuan bongsu mangsa berumur 30 tahun yang juga OKU pekak dan bisu,” katanya kepada pemberita.

Mazlan berkata demikian selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor hari ini.

Dalam kejadian 5.50 pagi itu, mangsa Chia Tee Nang, 73; isterinya Lim Mai Shak, 68, dan 2 cucu lelaki mereka, Ryan Chia, 9, serta Chia Yuan Bin, 3, dipercayai dibunuh sebelum dibakar di kediaman mereka.

Kes diklasifikasikan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Menurut Mazlan, berdasarkan siasatan awal, motif kejadian disebabkan masalah kewangan seperti hutang dan berlaku pertelingkahan di rumah mangsa sebelum kejadian.

“Kami percaya suspek bertindak bersendirian dalam kes ini, jadi kami percaya kes ini berjaya diselesaikan.

“Mengenai punca sebenar kematian keempat-empat mangsa, kami masih menunggu laporan rasmi bedah siasat daripada pihak hospital, tidak boleh putuskan lagi sama ada mangsa dibunuh sebelum dibakar,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.