
Empat pegawai itu bersama 2 pemandu yang menaiki 2 kereta berasingan tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, kira-kira 1.34 tengah hari tadi, lengkap membawa dokumen untuk menjalankan siasatan.
Empat peguam Dr Mahathir diketuai Haniff Khatri Abdulla yang tiba 30 minit lebih awal, turut hadir dalam sesi soal siasat itu.
Pengerusi Pakatan Harapan itu tiba di pejabatnya awal pagi tadi untuk menunggu ketibaan polis.
Bekas perdana menteri sebelum ini menegaskan, kenyataan yang dikeluarkannya pada perhimpunan anti-kleptokrasi pada 14 Oktober itu hanya ditujukan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan tidak ditujukan kepada masyarakat Bugis.
Susulan kenyataan itu, Dewan di-Raja Selangor mahu Dr Mahathir disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948. Pada 17 Oktober, 2 laporan polis dibuat oleh Persatuan Bugis Johor berhubung kenyataan Dr Mahathir itu.
Dr Mahathir dikatakan menggunakan gelaran “lanun Bugis” bagi menyedarkan masyarakat kepada tindak tanduk Najib, yang terpalit dakwaan salah guna kuasa dan rasuah, menggelar diri “pahlawan Bugis”.
Dr Mahathir turut berdepan siasatan berhubung kerugian RM31.5 bilion yang ditanggung Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga mata wang (forex) sekitar 1990-an.
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) membuat kesimpulan terdapat unsur fakta dan maklumat tersembunyi berkaitan kerugian forex ditanggung BNM dan kenyataan mengelirukan yang diberikan kepada Kabinet, Parlimen dan orang ramai.
RCI dalam laporannya menyalahkan bekas penasihat BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop atas kerugian RM31.5 bilion yang ditanggung bank pusat itu dalam urus niaga forex pada 1992 hingga 1994. Mereka turut mengesyorkan polis menyiasat Dr Mahathir, bekas menteri kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan.
Kerugian forex: Polis ambil keterangan Dr M esok, kata peguam