3 beradik maut dalam nahas 4 kenderaan

3 beradik maut dalam nahas 4 kenderaan

Sebuah lori treler dipercayai mengalami masalah brek, 'menyapu' semua kereta berhenti di lampu isyarat merah menyebabkan sebuah daripada kereta itu tercampak dalam longkang.

eksiden-mrsm-lenggong
LENGGONG: Tiga beradik maut apabila kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan 4 kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong, hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira 11 pagi itu, mangsa maut dikenali sebagai 2 beradik kembar berlainan jantina berusia 8 tahun, iaitu Muhammad Hanif Ismail dan Nur Ain Hanifah serta kakak mereka, Nur Ain Hafizah, 22.

Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Ismail Che Isa berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah lori treler yang membawa muatan ikan baja; sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Grand Livina; sebuah kereta jenis Honda HRV; Toyota Hilux dan Nissan Sentra.

Katanya, kemalangan berlaku apabila treler terbabit yang dalam perjalanan dari Gerik ke Kuala Kangsar dipercayai mengalami masalah brek, sebelum merempuh bahagian belakang kenderaan terlibat yang berhenti di lampu isyarat merah arah sama.

“Kemalangan menyebabkan 3 beradik tersebut yang duduk di bahagian penumpang belakang Honda HRV meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

“Ayah mereka, Ismail Yaacob, 53, yang memandu kereta serta isterinya, Zainab Yong, 44, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Taiping, manakala seorang lagi anak pasangan itu, Nur Ain Haruzah, 13, cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ismail berkata, mayat semua mangsa yang berasal dari Dungun, Terengganu dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat.

Sementara itu, katanya, seorang penumpang Grand Livina cedera ringan, seorang cedera parah di bahagian perut, seorang selamat, manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pemandu dan kelindan treler, pemandu Hilux serta pemandu Nissan Sentra semuanya selamat,” kata Ismail.

Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Syahira, 26, berkata beliau tidak dapat menahan sebak melihat pakaian bertaburan di jalan raya akibat kemalangan itu.

Katanya, lebih meruntun hati apabila melihat tubuh beradik kembar maut itu terbaring kaku di jalan raya berhampiran kereta keluarganya yang turut terlibat dalam kemalangan itu.

“Saya sampai di lokasi kira-kira 10 minit selepas kejadian. Lori treler itu ‘sapu’ semua kereta yang berhenti di lampu isyarat, ada kereta yang tercampak dalam longkang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.