
Sehubungan itu, timbalan perdana menteri memberi amaran kepada jentera BN supaya tidak mengambil mudah perkara itu.
“Pilihan raya itu semakin dekat. Namun, kita jangan mudah selesa jika ada dalam minda kita untuk kita menghadapi lebih daripada pertandingan 2 penjuru kerana di sesetengah kawasan ia tidak menguntungkan kita.
“Biarpun kita harap lebih 2 penjuru, ada kawasan tertentu dilihat (mempunyai) risikonya,” katanya dalam ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno ke-71 hari ini.
Zahid yang menggalas tugas timbalan presiden Umno berkata, BN gagal menghadapi serangan mengejut pembangkang sebanyak 2 kali pada PRU 2008 serta 2013, dan ia tidak harus berulang pada PRU14.
“Parti harus diperkukuh dari dalam, bukan faktor luaran. Pembangkang akan guna apa sahaja untuk menang, mereka hidup atas isu.
“Kita telah terdampar 2 kali di lantai politik. Kejutan serangan saat akhir yang mampu alih sokongan pengundi, terutamanya mereka dalam kumpulan ‘persuadable voters’.”
Justeru, beliau menggesa tentera siber Umno bersiap sedia lebih awal dalam menghadapi serangan pembangkang.
“Kita letakkan tanggungjawab kepada rakan-rakan kita Biro IT dan pengamal media sosial lakukan serang balas fitnah dan tohmah manfaatkan sepenuhnya media sosial.”
Menteri dalam negeri itu memberi amaran serangan itu tidak patut ditujukan kepada rakan sepasukan.
“Ingatlah kita berada dalam satu pasukan, jangan libas sesama sendiri. Menolong sesama sendiri. Itu tanggungjawab ketika pilihan raya umum.
“Kita tak mahu ada yang merajuk dan tersentap hati. Berikan sokongan padu kepada sesiapa sahaja yang menjadi calon nanti. Jadilah pengikut yang baik.”