‘Saya tetap bersama Umno’, kata Yusof Apdal

‘Saya tetap bersama Umno’, kata Yusof Apdal

Adik kepada Presiden parti Warisan, Shafie Apdal berkata beliau tidak dipengaruhi tekanan kekeluargaan atau ideologi politik abangnya.

Yusof-Apdal-umno
KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Silam, Datuk Yusof Apdal berkata beliau sama sekali tidak dipengaruhi dengan tekanan kekeluargaan mahupun ideologi politik kerana pendiriannya tetap teguh untuk terus bersama Umno.

Adik kepada bekas menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu berkata ini kerana beliau sangat yakin dengan gandingan kepimpinan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan Naib Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Apa juga cabaran yang saya hadapi dalam dunia politik, ini adalah adat resam biasa dan semua orang tidak terkecuali daripada diuji,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Perhimpunan Agung Umno 2017 hari ini.

Beliau turut mengakui pada peringkat awal, beliau pernah dipelawa untuk menyertai parti pimpinan abangnya, Parti Warisan Sabah (Warisan), tetapi denyut nadinya bersama Umno tidak pernah terhenti kerana beliau berjuang untuk rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan ideologi politik, mengatasi segalanya.

“Dalam keluarga memang kami bersama-sama, bagaimanapun perjuangan politik kami berbeza, kami tidak sehaluan dan dia (Shafie) faham pendirian saya sebagaimana saya faham pendirian dia,” katanya.

Yusof yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lahad Datu berkata beliau juga tidak mahu menghampakan penduduk di kawasannya termasuk lebih 51,000 ahli Umno Bahagian Silam yang pastinya menaruh harapan dan keyakinan tinggi terhadap beliau.

Ditanya mengenai pengaruh abangnya dan parti Warisan itu sendiri, Yusof enggan mengulas lanjut namun berkata ia mungkin hanya kelebihan di kawasan Shafie sendiri iaitu di Semporna.

“Mungkin secara peribadi di kawasan dia ada kelebihan sedikit, manakala soal kepimpinan mungkin kerana dia pernah menjadi menteri. Tetapi perlu diingat secara keseluruhannya pengaruh kita (Umno) sangat kuat sebab sumbangan kita lebih banyak kerana Umno sudah lama bertapak di Sabah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.