Hamzah: BN praktik amalan Nabi larang campur tangan pasaran bebas

Hamzah: BN praktik amalan Nabi larang campur tangan pasaran bebas

Hamzah Zainudin berkata, atas dasar keprihatinan terhadap rakyat dan keadilan dalam Islam, kerajaan tidak menaikkan harga barang keperluan asas dan berusaha memerangi kegiatan orang tengah memanipulasi harga barang.

hamzah-sara-hidup
KUALA LUMPUR: Kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini mempratikkan amalan Nabi Muhammad yang melarang campur tangan dalam pasaran bebas berkaitan kos sara hidup, kata Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan itu berkata, atas dasar keprihatinan terhadap rakyat dan keadilan dalam Islam, kerajaan BN tidak menaikkan harga barang keperluan asas.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, sepanjang 3 hari Perhimpunan Agung Umno ke-71 ini, ramai perwakilan membangkitkan isu harga barang dan kos sara hidup.

“Alhamdulillah, isu ini bukan hanya ditangani oleh saya sebagai menteri KPDNKK, tetapi seluruh ahli jemaah menteri juga merasai dan bersama menangani permasalahan ini,” katanya dalam ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Umno ke-71 hari ini.

“Kita semua sedia maklum bahawa isu harga barang naik ini sudah pun berlaku di zaman Rasulullah lagi. Sehinggakan ada hadis yang menjelaskan, melalui hadis sahih riwayat Abu Daud daripada Anas Bin Malik yang berkata: Ya Rasulullah, harga barang naik. Maka tetapkanlah harga barang untuk kami.

“Maka baginda menjawab, sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga, yang menyempit, meluaskan dan memberi rezeki. Dan sesungguhnya, aku benar-benar berharap untuk bertemu Allah dalam keadaan tidak ada seseorang pun yang menuntut kepadaku berkenaan sesuatu kezaliman pada darah dan harta.”

Hamzah berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM2 bilion setiap tahun untuk menangani isu kenaikan harga barang.

Katanya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga bersama agensi kerajaan lain memerangi kegiatan orang tengah memanipulasi harga barang.

“Kita akan berjuang dan berjihad untuk memerangi mereka yang tamak dan rakus ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.