Umno Sabah: Artis hentam kerajaan tak faham beza gaya hidup, keperluan hidup

Umno Sabah: Artis hentam kerajaan tak faham beza gaya hidup, keperluan hidup

Perwakilan Umno Tenom Jamawi Jaafar yang mengkritik Sheila Majid dan Fathia Latiff berkata tiket konsert RM888 dan aplikasi Bigo Live bukan keperluan hidup.

Jamawi-Jaafar_Sheila-Majid_600
KUALA LUMPUR:
Artis yang mengkritik kenaikan kos sara hidup sebenarnya tidak memahami perbezaan antara gaya hidup dan keperluan hidup, kata Umno Sabah.

Wakil Umno Tenom, Jamawi Jaafar, menyindir Datuk Sheila Majid dan Fathia Latiff dengan berkata harga tiket konsert berharga RM888 dan aplikasi Bigo Live bukan keperluan hidup.

“Ada segelintir kita hanya pandai ‘tweet’ gaya hidup. Konsert tiket berharga RM888 bukan keperluan hidup. Bermain aplikasi ‘Bigo Live’ bukan keperluan hidup.”

“Selebriti ini menggunakan (media sosial) untuk hentam pemimpin. Mereka tak faham cara hidup. Yang mereka maksudkan adalah gaya hidup,” katanya di perbahasan usul ekonomi di Perhimpunan Agung Umno ke-71 hari ini.

Sebelum ini di Twitter, Sheila mengeluh mengenai kenaikan kos sara hidup tinggi dan meminda kerajaan tumpu menangani masalah yang menghimpit rakyat.

“Makanan mahal, ringgit lemah, kos sara hidup tinggi & pekerjaan sukar didapati. Rakyat Malaysia semakin letih & marah kerana dihimpit hutang yang bukan kita cipta. Cukuplah beralasan & cari kesalahan. Tumpu pada tugas meletakkan negara kembali ke landasan! Mengecewakan!” kata selebriti popular itu.

Pelakon Fathia Latiff juga baru-baru ini lantang mengkritik tindakan kerajaan menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad. Sebelum ini, beliau dikaitkan dengan video yang tersebar di aplikasi “Bigo Live”.

Jamawi seterusya mencadangkan pucuk pimpinan Umno menubuhkan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup bagi menangani isu tersebut.

“Pemuda mencadangkan Majlis Tindakan Sara Hidup diwujudkan. Kita kena serius tangani keperluan rakyat.

“Kita harus serius dalam membanteras ‘orang tengah’ dan mereka yang cuba mensabotaj ekonomi negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.