
Azwan akui terkejut dengan kenyataan Sheila yang beliau hormati, dan menyifatkan tindakan Sheila sebagai membunuh diri.
“Saya sedikit kecewa dengan Datuk Sheila Majid. Dia sebagai seorang yang berpengaruh harus menggunakan sedikit ‘common sense’ mengenai situasi sekarang dan tidak perlu beremosi. Orang menghormati dia, bila dia buat kenyataan seperti itu, membunuh diri.”
“Saya hormat Sheila Majid tetapi sayang kenyataan itu datang daripada dia,” kata Azwan.
Beliau ditemui pemberita di Perhimpunan Agung Umno kali ke-71 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Sheila menimbulkan isu kos sara hidup dan nilai ringgit yang lemah di Twitter ketika perwakilan Umno sedang mengadakan kongres terakhir sebelum melangkah ke pilihan raya umum tahun depan.
“Makanan mahal, ringgit lemah, kos sara hidup tinggi & pekerjaan sukar didapati. Rakyat Malaysia semakin letih & marah kerana dihimpit hutang yang bukan kita cipta.
“Cukuplah beralasan & cari kesalahan. Tumpu pada tugas meletakkan negara kembali ke landasan! Mengecewakan!” kata selebriti popular itu di perkhidmatan rangkaian sosial itu.
Sheila, yang terkenal dengan lagu Antara Anyir Dan Jakarta dan Sinaran, bukan satu-satunya artis yang bercakap di media sosial mengenai kos sara hidup yang tinggi.
Baru-baru ini, pelakon Fathia Latiff mempersoalkan mengapa baru hanya sekarang siasatan dijalankan ke atas kerugian urus niaga mata wang asing yang dialami Bank Negara Malaysia pada 1990-an.
Azwan turut ditanya mengenai ulasan politik daripada generasi penghibur baru, dan berkata kritikan mereka tidak akan menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN).
“Najib tidak perlu artis sangkak untuk menang pilihan raya. Najib adalah nama yang terlalu besar, apalah sangat dengan artis sangkak.”
“Mereka sebagai ‘icon’ gunalah ‘otak’ sikit. Kalau kau berjaya, ada (gelaran) ‘datuk’, kaya raya, ada pengikut berjuta-juta, bukankah kerana kerajaan? Go to hell (pergi jahanam),” katanya.
“Saya rasa mereka (mengalami) ‘zaman sudah jatuh’, bila lagi hendak popular? Tetapi tidak boleh lawan Azwan Ali punya viral.”