
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, sebanyak 8,714 atau 37% daripada jumlah itu ialah pemohon dari China.
“Ini diikuti 4,225 pemohon dari Jepun, Bangladesh (3,546), United Kingdom (2,412), Iran (1,336), Singapura (1,295), Taiwan (1,208), Korea (1,266), Pakistan (973) dan India (890).
“Program MM2H telah melonjakkan Malaysia di tempat ke-6 pada 2017 sebagai Destinasi Terbaik Persaraan Di Dunia dan satu-satunya negara di Asia yang layak bagi kedudukan ini, menurut portal dalam talian, International Living.
“Selain itu, Yayasan Longstay Jepun turut mencalonkan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama untuk pelancong Jepun sejak 2006 dan ‘Negara Terunggul di Dunia dengan Penjagaan Kesihatan Terbaik’ pada 2017,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Industrial and Commercial Bank of China Malaysia (ICBC) hari ini.
MoU itu yang ditandatangani Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian, Nor Yahati Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif ICBC Malaysia, Wang Qiangi bertujuan mempromosi program MM2H di China.
Nazri yang menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian itu berkata, sebagai rakan rasmi bank, ICBC Group dapat mempromosikan program MM2H di China, terutama di Beijing, Guangdong, Shanghai, Sichuan dan Zhejiang, selain di seluruh dunia.
“Melalui MoU ini, saya dengan sukacita menyatakan ICBC bersama kumpulan syarikat memutuskan untuk bertindak sebagai saluran atau fasilitator antara kerajaan dan pelanggan bank untuk mempromosikan program MM2H.”
Pemohon program MM2H mesti berusia 50 tahun dan ke atas, mempunyai rekod bersih di negara asal berkaitan keselamatan dan tidak mempunyai rekod jenayah serta mempunyai kedudukan kewangan kukuh.
Program ini diperkenalkan pada 2002 untuk menarik rakyat asing tinggal di Malaysia, terutama mereka yang sudah bersara atau untuk tujuan perniagaan.