
Lebih banyak butiran dijangka timbul kemudian, berhubung insiden yang dipercayai berlaku 3 pagi tadi.
Seorang penasihat media Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) berkata, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din bersama Komander Esscom, Datuk Hazani Ghazali akan mengadakan sidang media berhubung perkara itu di Lahad Datu, pada 3 petang ini.
Kes culik untuk wang tebusan dan lanun pernah berlaku di perairan pantai timur Sabah, tetapi tahun ini tiada kes sedemikian dilaporkan.
Beberapa individu berada dalam senarai dikehendaki Esscom untuk jenayah maritim. Mereka termasuk Badong Muktadil, seorang ahli Abu Sayyaf dalam kumpulan culik untuk wang tebusan, yang dilaporkan ditembak mati pasukan keselamatan Filipina, beberapa bulan lalu.
Hazani memberitahu FMT, Esscom akan mendapatkan lebih banyak butiran dan risikan daripada rakan sejawatan di Filipina mengenai Badong daan ahli kumpulannya.
Selepas pencerobohan Lahad Datu pada 2013 oleh militan yang dihantar kononnya Sultan Sulu di selatan Filipina untuk menawan Sabah, pihak berkuasa segera meningkatkan tahap keselamatan di sepanjang pantai timur negeri itu.
Sebanyak 10 daerah di timur Sabah – Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau diisytiharkan Zon Selamat Sabah Timur (Esszone) yang berada di bawah tanggungjawab Esscom.”