Tiada harapan di Timur Tengah, kata pimpinan sidang Rom

Tiada harapan di Timur Tengah, kata pimpinan sidang Rom

45 ketua kerajaan, menteri dan tokoh perniagaan yang menghadiri acara itu sejak 3 hari lalu tidak gembira dengan masa depan rantau itu.

middle-eat
ROME:
Apabila Itali menganjurkan sidang yang tertumpu pada Timur Tengah, Teluk dan Afrika Utara, sidang itu berjanji akan melihat melepasi kekacauan yang melanda rantau itu dan mempromosikan “agenda positif”.

Namun kebanyakan 45 ketua kerajaan, menteri dan tokoh perniagaan yang menghadiri acara itu sejak 3 hari lalu tidak gembira dengan masa depan rantau itu.

Menteri Luar Negeri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al-Thani, berjaya menggambarkan kesuraman itu, meratapi “kebodohan” di rantau itu, dan “tiada harapan” untuk rakyat kebanyakan yang mahu konflik, pergolakan dan sektarianisme yang berlarutan bertahun lama ditamatkan.

“Barangkali saya beri gambaran yang suram, tetapi ia tidaklah segelap seperti yang jelaskan itu, kerana sebenarnya lebih pekat daripada itu,” kata Thani, yang mana negaranya dikenakan sekatan ekonomi oleh negara Arab jiran, yang menuduh Qatar menyokong terorisme.

Qatar menafikan tuduhan itu dan krisis itu hanya mendekatkan lagi negara kecil yang kaya gas asli dengan Iran, negara majoriti Syiah yang bersaing dengan Arab Saudi, negara majoriti Sunah Wal Jamaah.

Menteri luar negeri Iran dan Arab Saudi berucap di persidangan itu dan saling melemparkan kritikan.

“Sejak 1979, Iran terlepas daripada pembunuhan di rantau kita, dan ini perlu dihentikan,” kata Menteri Luar Negeri Arab Saudi Adel al-Jubeir kelmarin, menuduh Tehran mencampuri hal ehwal negara Arab, termasuk Syria, Yaman dan Lubnan.

Sehari sebelumnya, di pentas yang sama, Menteri Luar Negeri Iran Javad Zarif menuduh Arab Saudi menghalang gencatan senjata di Syria, “mencekik” Qatar, menyahstabilkan Lubnan dan menyokong IS.

Beliau turut menepis cadangan mengatakan Tehran mencampuri hal ehwal negara jiran atau meminta ia menghentikan sokongan kepada kumpulan militan, seperti Hezbollah di Lubnan.

Kemusnahan

Mencari sebab untuk bersikap positif, kebanyakan speaker menimbulkan cerita kekalahan IS, yang pernah memerintah jutaan orang di Iraq dan Syria, tetapi kini hanya mengawal poket-poket tanah yang kecil selepas pertempuran sengit yang berbulan lama.

Para pegawai kerajaan bagaimanapun memberi amaran kumpulan itu tidak akan mati dengan mudah.

“Angkatan tenteranya ditewaskan tetapi gerakan itu mungkin kembali ke bandar-bandar untuk mencipta kemusnahan dan ketakutan,” kata Setiausaha Liga Arab Jeneral Ahmed Aboul Gheit, meramalkan kumpulan militan itu mungkin akan terus bertahan untuk 10 tahun lagi.

Menteri Luar Negeri Iraq meratapi kemusnahan di negara akibat kebangkatan IS dan menyeru dunia bersatu membina semula negara itu sepertimana mereka bersatu melawan IS.

“Ini hutang dunia kepada kami,” kata Ibrahim al-Jaafari. “Kemusnahan besar-besaran perlukan pembinaan semula besar-besaran. Mosul tidak lagi seperti dulu. Dulu bandar itu cantik. Ada universiti. Sekarang cuma kemusnahan.”

Menteri Luar Negeri Mesir Sameh Shoukry memberi amaran militan IS melarikan diri ke Mesir dari Syria dan Iraq, di mana berlakunya serangan terhadap di Sinai bulan lepas yang membunuh lebih 300 orang. Mereka juga menuju ke Libya yang dalam kekacauan, katanya.

Di tengah-tengah perbincangan mengenai peperangan dan huru-hara, hanya sedikit menyentuh mengenai usaha diplomatik memulihkan keamanan di rantau itu.

“Ketika kamu ada banyak sumber ketegangan, banyak fius, banyak malapetaka kemanusiaan, kamu juga kekurangan diplomasi,” kata Naib Presiden (Dasar) Kumpulan Krisis Antarabangsa, Robert Malley.

Menggariskan hujahnya, tiada seorang pun daripada pentadbiran Rumah Putih terlibat dalam persidangan itu – isyarat yang sesetengah diplomat rasakan kerana pengunduran dari Timur Tengah oleh Presiden Donald Trump. Tahun lalu, setiausaha negara Amerika Syarikat ketika itu, John Kerry, menyertai persidangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.