
Merujuk kepada spekulasi ada tekanan menutup Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir (IPDM) di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan menyeru kerajaan supaya lebih matang mengani isu seperti ini.
“Institut itu dinamakan sempena Dr Mahathir bagi menghormati legasi beliau kepada negara. Institut itu dinamakan sempena beliau tetapi institut itu bukan untuk mengkaji beliau sahaja.
“Jika spekulasi itu benar, maka kementerian berkaitan mesti memberikan sebab yang jelas,” kata Wan Saiful, dan menambah IPDM adalah institut yang mengkaji pemikiran dan idea semua pemimpin.
Wan Saiful berkata menukar nama institut itu hanya kerana Dr Mahathir bukan lagi bersama Umno adalah kebudak-budakan dan tidak matang, kerana “tiada orang boleh menghapuskan legasi Tun kepada negara”.
“Selepas itu apa? Apa mereka akan menghapuskan semua rujukan kepada Tunku Abdul Rahman kerana beliau juga meninggalkan Umno?
“Apa kita perlu namakan semua sempena Tun Abdul Razak sebagai tanda terima kasih kerana ‘memberikan’ kita perdana menteri sekarang? Tentu sekali tidak,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Ilham Mohamad Hisomuddin Bakar berkata mustahil menghapuskan sejarah dan sumbangan bekas perdana menteri kepada negara.
“Tindakan seperti itu tidak bijak seolah-olah mahu menapis semua perkara yang ada kaitan dengan beliau.
“Tindakan itu akan memberi implikasi buruk kepada kerajaan. Ia akan kelihatan seperti kerajaan cuba menghapuskan legasi Dr Mahathir kerana beliau sekarang pemimpin pembangkang dan musuh utama parti pemerintah,” kata Hisomuddin.
Beliau menambah legasi Dr Mahathir tidak mungkin dapat dihapuskan dan ia akan terus bertahan walaupun ditekan sebegitu rupa.
Sementara itu, Presiden Pusat Hal Ehwal Dunia (ICON) Abdul Razak Baginda berkata terdapat prinsip tidak menamakan sesuatu sempena orang yang masih hidup, sama ada jalan raya atau dalam kes ini sebuah institut.
“Malah menamakan sesuatu sempena orang yang sudah meninggal dunia ada risiko skandal.
“Contohnya, kes bekas perdana menteri Britain Edward Heath yang baru-baru ini didedahkan seandainya beliau masih hidup, polis akan menyiasat beliau atas dakwaan penderaan seks.”
IPDM diumumkan pada 2003 oleh perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebagai penghormatan kepada Dr Mahathir yang bersara selepas 22 tahun menjadi perdana menteri.
Pelajar UUM baru-baru ini membuat pembentangan sebagai penghormatan kepada Dr Mahathir dan muatnaik Twitter tentang pembentangan itu turut mendapat respon daripada bekas perdana menteri itu.
“Jasa saya kecil sahaja jika nak dibandingkan dengan rakyat Malaysia yang bekerja pagi dan malam untuk menyara hidup keluarga, keluarga yang akhirnya berbakti kepada negara,” kata Dr Mahathir.