
Adun Kebun Bunga itu dalam satu kenyataan berkata, beliau sibuk membantu mangsa banjir membina semula komuniti mereka yang dimusnahkan banjir baru-baru ini.
Beliau juga sibuk dengan insiden tanah runtuh yang berlaku di Bukit Bendera sehingga menjejaskan perkhidmatan kereta kabel dan tragedi di tapak pembinaan Tanjung Bungah yang meragut 11 nyawa.
Beliau turut menangani masalah banjir di Farlim, Paya Terubong, Kebun Bunga dan Sungai Pinang.
Sehubungan itu, katanya, beliau tidak boleh meramalkan apa yang cuba dilakukan sesetengah ahli politik untuk mengalihkan perhatian rakyat.
“Marilah kita fokus menyelesaikan masalah banjir dan tanah runtuh. Jangan alih perhatian orang Pulau Pinang daripada isu sebenar,” katanya.
Cheah diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengenai bantahan terhadap perkhidmatannya di Kebun Bunga.
Hasil kepada aduan itu dan “prestasi lemah”, Lim semalam memberitahu Malaysiakini yang Cheah disekat daripada menguruskan pendaftaran bantuan kewangan untuk mangsa banjir di kawasannya.
Lim mendakwa penduduk di Kebun Bunga “sangat tidak puas hati”, malah mengeluarkan “kata-kata kesat” kepada Cheah, tetapi mereka memuji dan mengucapkan terima kasih kepada Adun Pulau Tikus daripada DAP, Yap Soo Huey yang membantu mereka.
Katanya, rakaman video lawatannya ke Ladang Hong Seng di Kebun Bunga selepas banjir baru-baru ini menunjukkan penduduk setempat menegur Cheah yang didakwa tidak prihatin dengan kesusahan mereka.
Minggu lalu, Lim berkata, beliau sendiri akan menyerahkan bantuan kerajaan negeri sebanyak RM700 kepada mangsa banjir di Kebun Bunga dengan bantuan Yap.
Beliau berkata, perkara itu sekadar “perubahan prosedur dalaman” dan keputusan itu dibuat selepas berunding dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus.
Katanya, beliau akan mendedahkan semuanya kepada media selepas Sabtu ini – tarikh tutup permohonan bantuan banjir RM700.
Dalam satu kenyataan selepas pengumuman itu, Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Dr Mansor Othman menyifatkan penjelasan itu “naif dan sukar diterima” serta sama dengan tindakan mengetepikan peranan PKR dalam kerajaan negeri.