
Rommy Ma’i’aruf, 38, didakwa dengan sengaja melakukan pemerasan mendatangkan ketakutan kepada Ahmad Hasbi Mohd Fauzi, 32, iaitu bencana risiko ditangkap oleh SPRM kerana Ahmad Hasbi adalah pegawai bertanggungjawab membuat laporan perkembangan aktiviti perjudian haram di daerah Seberang Perai Tengah.
Tertuduh dengan curangnya mendorong mangsa yang bertugas sebagai inspektor di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) menyerahkan wang tunai RM3,000.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di perkarangan stesen minyak Petronas Seberang Jaya pada pukul 9.30 malam, 8 Jun lepas.
Lelaki yang berkemeja petak itu didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana 2 daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Hafiz Hashim tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kes di bawah seksyen itu tidak boleh dijamin. Bagaimanapun sekiranya terdapat budi bicara mahkamah beliau memohon jaminan RM8,000 beserta syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan.
Sementara itu, peguam Chan Ai Mei mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya memiliki 3 anak berusia 2 hingga 12 tahun.
Majistret Jamaliah Abd Manap kemudian membenarkan Rommy diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan 2 minggu sekali.
Mahkamah menetapkan 4 Januari depan untuk sebutan bagi serahan dokumen.