
Surin, 68, dikatakan rebah ketika sedang bersiap untuk berucap di Perhimpunan Halal Thailand 2017 di Bang Na, Bangkok.
Beliau dikejarkan ke Hospital Ramkhamhaeng tetapi kemudian diisytiharkan meninggal dunia, lapor akhbar Thailand itu.
Bekas menteri luar negeri Thailand itu seorang tokoh yang dikenali dan dihormati di negara itu.
Beliau dilahirkan dalam keluarga berketurunan Melayu pada 28 Oktober 1949.
Beliau lepasan pengajian pasca siswazah dan kedoktoran dalam bidang sains politik dan pengajian Timur Tengah di Universiti Harvard dan mengajar sains politik di Thailand sebelum menceburi politik.
Beliau merupakan timbalan menteri luar negeri dari 1992 hingga 1995 sebelum dilantik menteri luar negeri dari 1997 hingga 2001.
Semasa berkhidmat sebagai pengerusi Forum Serantau Asean, beliau menumpukan kepada memupuk perpaduan yang meluas di Asia Tenggara keseluruhannya.
Beliau juga menyertai banyak suruhanjaya antarabangsa seperti Suruhanjaya Tentang Keselamatan Manusia PBB, Suruhanjaya Dimensi Sosial Kesejagatan dan Lembaga Penasihat Antarabangsa di Kumpulan Krisis Antarabangsa.
Beliau meninggalkan seorang isteri, Alisa Pitsuwan, dan 3 anak, Frickli Pitsuwan, Muhammad Fuake Pitsuwan dan Hussani Pitsuwan.
Beliau akan dikebumikan esok di sebuah masjid di Tambon Tha it, wilayah Nonthaburi berdekatan Bangkok.