Sebar gambar lucah: Guru kekal bebas

Sebar gambar lucah: Guru kekal bebas

Shanmuga didakwa sebarkan gambar lucah kepada gadis terbabit berusia 16 tahun menerusi telefon bimbitnya di Taman Garing Utama, Rawang, Selangor pada 2010.

phone-gavel
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan pembebasan seorang guru Bahasa Inggeris daripada pertuduhan menyebarkan gambar lucah kepada seorang gadis remaja 7 tahun lepas.

Panel 3 hakim terdiri daripada Datuk Mohd Zawawi Salleh, Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Kamardin Hashim sebulat suara menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan lelaki berumur 38 tahun itu.

Hakim Mohd Zawawi yang mempengerusikan panel itu berkata keputusan Mahkamah Majistret dan Mahkamah Tinggi dalam membebaskan C Shanmuga adalah betul dan tiada sebab bagi Mahkamah Rayuan untuk mengganggu dapatan kedua-dua mahkamah itu.

Shanmuga didakwa menyebarkan beberapa gambar lucah kepada gadis terbabit yang ketika itu berusia 16 tahun menerusi telefon bimbitnya di Taman Garing Utama, Rawang, Selangor antara 21 dan 27 April 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 293 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman maksimum penjara 5 tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 26 Januari 2015, Mahkamah Majistret Selayang melepaskan dan membebaskan Shanmuga di akhir kes pembelaan dan Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan pembebasannya pada 16 Ogos tahun lepas.

Peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris mewakili Shanmuga manakala Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail mewakili pendakwaan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.