Kenapa import buku teks untuk pelajar Sepanyol, soal Zairil

Kenapa import buku teks untuk pelajar Sepanyol, soal Zairil

Zairil Khir Johari berkata, isi kandungan buku teks import itu tidak sesuai untuk pelajar Malaysia kerana semua rujukannya dikaitkan dengan budaya barat dan Eropah.

zairil
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari terus mempertikaikan tindakan kerajaan menggantikan buku teks bahasa Inggeris keluaran syarikat tempatan dengan yang diimport dan dibuat untuk pelajar Sepanyol.

Jurucakap Parlimen DAP untuk pendidikan, sains dan teknologi itu berkata, isi kandungan buku teks import itu tidak sesuai untuk pelajar Malaysia kerana semua rujukannya dikaitkan dengan budaya barat dan Eropah, tanpa sebarang kandungan tempatan.

Beliau memberi contoh dalam buku teks Pulse 2 untuk pelajar tingkatan 1.

“Di halaman 8 latihan 5, pelajar ditanya bahasa Sepanyol untuk ‘poster’. Jawapannya ialah ‘cartel’.

“Soalan kedua ialah ‘Bagaimana anda sebut lapiz dalam bahasa Inggeris?’ Jawapannya ialah ‘pencil’, tetapi bagaimana pelajar Malaysia menjawab soalan itu kecuali mereka didedahkan kepada bahasa Sepanyol?

“Adalah jelas buku teks ini dibuat untuk pelajar di Sepanyol,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah katanya, penerbit tempatan, Kumpulan Desa Fikir lupa menggantikan ayat “Printed and bound in Spain by Edelvives” pada halaman terakhir buku teks itu dan ia ternyata salah kerana buku itu sebenarnya dicetak BHS Book Printing di Cheras.

Pada 5 Oktober lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kalamanathan dilaporkan berkata, sekolah akan menggunakan buku teks bahasa Inggeris import sebagai sebahagian pembaharuan Kementerian Pendidikan, mulai tahun depan.

Katanya, penggunaan buku itu akan dimulakan kohort 2018 prasekolah, murid darjah 1 dan 2 serta murid tingkatan 1 dan 2. Murid sekolah rendah akan menggunakan Super Minds dari Cambridge University Press, manakala Pulse 2 MacMillan untuk pelajar menengah.

Beliau berkata, kurikulum itu akan diselaraskan Rangka Kerja Bersama Eropah Rujukan Bahasa (CEFR), iaitu panduan yang dibangunkan Majlis Eropah bagi mengukur kemahiran bahasa asing.

Katanya, ia sebahagian daripada pembaharuan bahasa Inggeris kementerian bagi memastikan tahap kemahiran murid sejajar piawaian antarabangsa.

Zairil berkata, jika buku teks tempatan tidak memenuhi kurikulum asas CEFR, kerajaan sepatutnya membuat tender terbuka untuk pembelian buku teks lebih sesuai.

“Saya pasti penerbit tempatan boleh mengemas kini isi kandungan mereka untuk memenuhi syarat. Sebaliknya, buku teks import yang dibeli tanpa sebarang ketelusan.”

Katanya, buku teks sedia ada sesuai untuk pelajar Malaysia kerana ia menonjolkan warisan tempatan dan mengimbangi kandungan tempatan dengan unsur sastera asing.

Beliau memberi contoh “The Good Earth” oleh Pearl S Buck, “Merchant of Venice” oleh William Shakespeare, juga puisi haiku dan akrostik.

 

Zairil: Kenapa tak import buku teks melalui tender terbuka?

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.