IRF fail semakan kehakiman cabar pengharaman buku oleh KDN

IRF fail semakan kehakiman cabar pengharaman buku oleh KDN

Pengarah IRF, Dr Ahmad Farouk Musa dalam afidavitnya berkata, arahan menteri itu melanggar keadilan asasi kerana pengharaman buku itu dibuat tanpa memberi peluang kepada IRF membuat penjelasan.

IRF
Ahmad Farouk Musa (kiri) bersama barisan peguam yang diketuai Tunku Farik Ismail (kanan) ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Islamic Renaissance Front (IRF) memfailkan semakan kehakiman bagi membantah tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan 3 buku terbitan badan bukan kerajaan (NGO) itu.

Dalam permohonannya, IRF memohon perintah untuk membatalkan pengharaman buku bertajuk “Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan”, terjemahan karya penulis Turki, Mustafa Akyol bertajuk “Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty” yang turut diharamkan, serta 2 jilid Wacana Pemikiran Reformis.

Pewartaan perintah larangan itu dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

IRF juga memohon pengisytiharan ke atas Akta 301 tidak sah dan melanggar peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengarah IRF, Datuk Dr Ahmad Farouk Musa turut memfailkan afidavit bagi menyokong permohonan semakan kehakiman itu.

Beliau berkata, arahan menteri itu melanggar keadilan asasi kerana pengharaman itu dibuat tanpa memberi peluang kepada IRF membuat penjelasan.

Katanya berkata, kenyataan media menteri mengumumkan pengharaman itu tidak masuk akal, tidak rasional dan mengambil kira faktor tidak relevan.

“Responden (menteri) gagal menerangkan bagaimana penerbitan atau kandungan itu mempromosikan liberalisme, mengandungi elemen menghina Islam dan menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.”

Dr Farouk berkata, perintah larangan menteri itu melanggar Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan satu bentuk campur tangan memandangkan Islam ialah isu negara.

Beliau berkata, larangan itu jelas bertentangan Perkara 10 Perlembagaan kerana Parlimen meluluskan undang-undang untuk hanya mengenakan sekatan ke atas kebebasan bersuara.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md Said hari ini membenarkan permohonan penangguhan untuk melakukan semakan kehakiman bagi membatalkan larangan itu, selepas mendengar hujah Tunku Farik Ismail yang mewakili IRF dan Shamsul Bolhassan mewakili menteri.

Pengurusan kes itu ditetapkan 13 Disember ini.

Farik berkata, anak guamnya turut memohon pengisytiharan Seksyen 7 Akta 301 tidak konsisten dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kami telah memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan minggu lepas kerana hanya mahkamah tertinggi yang boleh mendengar perkara itu memandangkan ia merupakan cabaran Perlembagaan terhadap peruntukan Akta 301,” katanya kepada wartawan.

Shamsul membantah permohonan untuk mengisytiharkan Akta 301 tidak berperlembagaan, tetapi Kamarudin berkata, IRF perlu diberi peluang untuk mendengar kesnya di Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu.

Dr Farouk dalam afidavitnya berkata, menteri dalam kenyataan medianya pada 9 September lalu berkata, buku itu diharamkan kerana mempromosi idea liberalisme, mengandungi unsur penghinaan dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Katanya, sehingga hari ini, IRF tidak mendapat arahan pengharaman buku itu atau diminta menunjukkan sebab.

Beliuau berkata, sejak 2012 hingga 2016, buku terbitan IRF tidak mendapat aduan kerajaan atau mana-mana orang awam, di mana terbitan mereka boleh menjejaskan ketenteraman awam.

“Sebelum ini tidak pernah kena haramkan, ini kali pertama saya kena haramkan buku selepas 5 tahun terbitan,” katanya kepada wartawan.

 

Pengarah IRF kecam kerajaan atas pengharaman buku terbaru

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.