
Bekas menteri penerangan itu berkata, Dr Mahathir juga mempercayai Datuk Seri Najib Razak disebabkan keterampilannya.
Oleh itu, katanya, beliau tidak dapat menerima hakikat Dr Mahathir kembali berbaik dengan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“…tetapi itulah Mahathir yang dari awal percaya tidak ada musuh yang kekal dalam politik. Politik tidak mendarah daging dalam jiwa saya,” tulisnya dalam blognya hari ini.
Katanya, beliau juga tahu Dr Mahathir tidak percaya Anwar meliwat.
“Malah, polis takut untuk beritahunya, tapi polis terpaksa mengutamakan keselamatan dan masa depan negara. Pegawai-pegawai tinggi polis juga menghadapi masalah untuk meyakinkannya kerana imej agama Anwar terlalu besar kepada Mahathir.
“Saya percaya Mahathir hanya percaya bila dia diyakinkan oleh orang rapat dengannya yang juga takut kepentingan ekonomi mereka terhakis bila Anwar berkuasa.”
Zainudin berkata, beliau disingkirkan daripada jawatan ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu juga disebabkan Dr Mahathir lebih mempercayai Anwar.
“…ketika itu sokongan dari dalam parti semakin kuat sehingga (Tun) Ghafar Baba juga tersingkir secara halus dan Mahathir tidak berbuat apa-apa.
“Apabila saya berundur daripada Utusan Melayu, saya sedikit pun tidak mempunyai perasaan marah atau dendam kepadanya kerana saya percaya beliau perlu meneruskan perjuangannya yang belum selesai.”
Beliau percaya perjuangan Dr Mahathir sekarang bukan demi kepentingan diri atau anaknya, Datuk Seri Mukhriz, sebaliknya untuk menyelamatkan negara, bangsa dan agama.
“Mahathir akan sanggup berbuat apa sahaja untuk kepentingan politik dan mencapai cita-citanya yang saya percaya bukan untuk kepentingan dirinya.”