
Ab Kadir Ismail, pengerusi PGSM bahagian Selangor, berkata tiada undang-undang buatan manusia dapat disamakan dengan syariah jika ianya tidak secara terang-terangan memperakui Tuhan sebagai sumber agung perundangan itu.
“Tiada peruntukan dalam perlembagaan itu mengatakan Allah Maha Besar dan bahawa sumber utama undang-undang adalah al-Quran dan al-Sunnah,” katanya.
Auda, seorang pakar maqasid syariah yang menulis pelbagai buku mengenainya, baru-baru ini memberitahu sebuah forum beliau tidak bersetuju dengan seruan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dalam usaha untuk memperkasakan syariah.
Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan sudah meletakkan keutamaan pada keamanan, kestabilan, dan keadilan, iaitu antara tujuan asas syariah.
Auda berkata sistem undang-undang boleh dianggap sebagai sejajar dengan Islam jika ia mematuhi objektif syariah iaitu melindungi dan memelihara agama, kehidupan, intelek, keturunan dan harta benda.
Bagaimanapun, Kadir berkata bagi umat Islam, undang-undang tertinggi adalah yang berdaulatkan Al-Quran.
Peguam sivil dan syariah Datuk Akberdin Abdul Kader, lebih menerima pandangan Auda.
“Saya bersetuju perkara dalam perlembagaan berkenaan kebebasan asasi sejajar dengan Islam,” katanya kepada FMT, sambil menambah status undang-undang syariah di Malaysia perlu diangkat.
Beliau berkata sudah tiba masa untuk sistem undang-undang syariah di Malaysia dipusatkan pada peringkat persekutuan dan diseragamkan di setiap negeri.
Beliau juga menyeru pelaksanaan penuh undang-undang syariah, dan percaya ia masih boleh dibataskan kepada orang Islam sahaja.