
Ia adalah bajet lebihan untuk tahun ke-8 berturut-turut sejak 2011.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata anggaran hasil 2018 adalah sebanyak RM1.504 bilion berbanding perbelanjaan RM1.503 bilion.
“Perbelanjaan mengurus, termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM1.503 bilion terdiri daripada RM493.358 juta untuk emolumen dan RM1 bilion untuk perbelanjaan lain-lain,” katanya ketika pembentangan bajet bertema ”Bajet Johor 2018: Membangun Dekad Baharu Yang Sejahtera Untuk Johor” di Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar hari ini.
Mohamed Khaled berkata, bagi perbelanjaan pembangunan pula sebanyak RM700 juta diperuntukkan akan ditampung melalui Kumpulan Wang Pembangunan, di mana RM610 juta merupakan caruman Akaun Hasil Disatukan dan baki RM90 juta adalah hasil dan terimaan lain.
Menurut beliau, secara keseluruhannya perbelanjaan bajet adalah bagi melaksanakan 153 titik sentuhan yang semuanya disusun mengikut 5 strategi khusus, termasuk menggalak pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan dengan mempelbagaikan sektor pertumbuhan.
“Untuk setengah tahun pertama 2017, Johor mencatat pelaburan untuk sektor pembuatan sebanyak RM1.4 bilion, iaitu 8.23% daripada keseluruhan pelaburan di Malaysia.
“Ini menjadikan pelaburan terkumpul sejak 2010 sehingga Jun tahun ini sebanyak RM113 bilion, iaitu yang tertinggi di Malaysia,” katanya.
Menurut Mohamed Khaled, 2 sektor utama, iaitu pembuatan dan perkhidmatan kekal menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Johor, masing-masing bernilai RM32 bilion (31%) dan RM36.2 bilion (34%).
“Secara asasnya, unjuran semula pertumbuhan ekonomi Johor pada 2017 telah berkembang pada kadar 5.9% hingga 6.3% lebih tinggi daripada unjuran asal, iaitu 4.5% hingga 5.5% semasa ucapan bajet lepas,” katanya.
Bagi 2018, unjuran pertumbuhan ekonomi Johor dianggarkan sekitar 5.5% hingga 6% peratus, katanya.