Sultan Johor titah pemimpin Melayu berdamai

Sultan Johor titah pemimpin Melayu berdamai

Sultan Ibrahim tidak akan membiarkan krisis perebutan kuasa antara pemimpin Melayu terus berlaku yang akhirnya membuatkan orang Melayu berpecah-belah dan lemah.

sultan-ibrahim
PETALING JAYA:
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan pemimpin Melayu berdamai dan duduk semeja bagi mencari penyelesaian kepada masalah bangsa dan mengembalikan kepercayaan orang Melayu kepada mereka.

Sultan Ibrahim bimbang akan kemelut yang menghantui orang Melayu ketika ini.

“Sebagai raja yang telah berjanji dan berikrar untuk menjaga kepentingan orang Melayu dan agama dan Islam, saya tidak akan membiarkan krisis perebutan kuasa antara pemimpin Melayu terus berlaku yang akhirnya membuatkan orang Melayu berpecah-belah dan menjadi lemah.

“Dari hari ke sehari, orang Melayu terheret dengan krisis kredibiliti yang mencalar imej dan kepercayaan kepada institusi yang dipimpin orang Melayu, yang akhirnya menyusutkan keyakinan, pengaruh dan kuasa sebenar orang Melayu,” katanya dalam kenyataan sempena hari keputeraan ke-59.

Sultan Ibrahim berkata, pemimpin Melayu jangan hanya sibuk melaungkan tentang hak keistimewaan tetapi sesama bangsa Melayu mereka hidup leka dan bersengketa.

Pemimpin Melayu juga katanya mesti mengambil segala pendekatan dan mencari jalan terbaik untuk menjadikan kedudukan orang Melayu lebih baik dan dihormati.

“Kembalikan rasa percaya dan rasa setia orang Melayu kepada para pemimpinnya.

“Saya yakin, dengan adanya perdamaian dan permuafakatan segala masalah dan cabaran akan dapat diatasi demi mencapai tujuan yang sama untuk mengukuhkan kedudukan dan pengaruh orang Melayu.

“Saya berharap semua pemimpin Melayu dan orang Melayu akan berusaha bersungguh-sungguh untuk kepentingan bangsa.

“Semoga usaha ini membuahkan manfaat yang besar kepada tanah air dan untuk generasi akan datang,” kata Sultan Ibrahim lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.