Husam boikot sidang DUN, solidariti Adun Umno dihalau

Husam boikot sidang DUN, solidariti Adun Umno dihalau

Bekas naib presiden PAS itu mempersoalkan DUN Kelantan yang sentiasa tergesa-gesa bersurai.

Husam-Musa_dun-kelantan_600
PETALING JAYA:
Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa hari ini menyatakan solidariti bersama Datuk Nozula Mat Diah, selepas Adun Barisan Nasional (BN) itu diusir keluar dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Ia selepas Speaker, Datuk Abdullah Ya’kub cuba menghalang Nozula, yang juga ketua pembangkang negeri, daripada membahaskan Bajet 2018 dibentangkan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob Isnin lepas, dengan alasan sudah sampai masa untuk sesi penggulungan.

“Sidang DUN Kelantan ditamat awal untuk persiapan kiamat petang ini?” sindir Husam yang juga Adun Salor.

“Apa salahnya YB Paloh dibenarkan berucap, paling lama setengah jam. Sidang ditarik sampai petang, lalu ditangguhkan? Penat sangatkah Speaker dengan tambahan setengah jam lagi masa bersidang?”

Husam berkata DUN Kelantan yang dikuasai PAS itu selalu “terkejar-kejar untuk bersurai”.

“Apa yang menyebabkan kerajaan Kelantan terburu-buru tak menentu?” tanya beliau.

Husam membandingkan tempoh masa pendek diperuntukkan DUN Kelantan membincangkan bajet dengan DUN Pahang yang bersidang sehingga 7 hari.

“Mengapa Kelantan mesti hanya 2 hari? Dari 3 hari, petangnya tidak ada sidang, masa sebenar bersidang kurang dari 3 hari. Saya yakin sidang akan ditangguhkan tengah hari ini. Petang tak ada lagi sidang.”

Sambil menyatakan solidariti bersama pembangkang negeri, Husam berkata akan turut memboikot penggulungan perbahasan oleh kerajaan.

Selepas Nozula ditemani keluar dewan, 4 Adun BN, Mat Razi Mat Ail (Pengkalan Kubor), Datuk Ramzi Ab Rahman (Dabong), Ab Aziz Yusoff (Galas) dan Zulkifle Ali (Selising) turut bertindak keluar sebagai tanda solidariti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.