Terengganu laksana program pengurus kediaman tingkat imej amah

Terengganu laksana program pengurus kediaman tingkat imej amah

Peserta program khas yang diperkenalkan 3 tahun lalu itu, tidak perlu bermalam di rumah majikan dan hanya bekerja mengikut waktu pejabat atau waktu yang sesuai setelah berunding dengan majikan.

razif-amah
KUALA TERENGGANU: Siapa sangka imej pembantu rumah profesional yang memakai uniform, mempunyai perwatakan menarik dan bekerja dengan sistematik seperti dalam telenovela luar negara sebenarnya wujud di Terengganu.

Pekerjaan tersebut diiktiraf sebagai “Home Manager” (pengurus kediaman) bagi memartabatkan imej wanita yang menyertai sektor ini dan tidak dinafikan mereka mempunyai kecekapan dalam pelbagai urusan rumah tangga ekoran diberi latihan secukupnya dari semasa ke semasa.

Lebih istimewa, mereka tidak perlu bermalam di rumah majikan seperti kebiasaan rutin pembantu rumah konvensional dan hanya bekerja mengikut waktu pejabat atau waktu yang sesuai setelah berunding dengan majikan.

Program khas hasil idea Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman itu mula diperkenalkan sejak 3 tahun lalu dan mendapat sambutan luar biasa di seluruh negeri ini, malah menjadi inspirasi kepada negeri lain.

“Home Manager” ini akan menerima gaji RM1,000 sebulan dan dilindungi insurans serta mempunyai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), malah bagi mempromosi program ini, kerajaan negeri turut membantu majikan dengan memberi subsidi RM200 sebulan pada 3 bulan pertama.

Antara majikan bertuah yang menyertai program tersebut ialah Ahmad Huzairi Ali, 36, dan isterinya Majdah Yusof, 34, dari Manir, Kuala Terengganu.

Mengimbas kenangan 3 tahun lalu, Huzairi berkata, beliau pernah mengalami masalah kerana mendapat pembantu rumah tidak serasi bekerja dalam tempoh lama, terutama dalam hal penjagaan anak sulungnya berusia 7 tahun yang menghidap Cerebral Palsy.

Beliau pernah menggunakan khidmat beberapa pembantu rumah tempatan sebelum ini, namun kebanyakannya tidak kekal lama dan berhenti dalam masa singkat kerana masalah peribadi.

Huzairi akhirnya nekad mengambil pembantu rumah warga Indonesia dan bersedia mengeluarkan RM18,000 untuk tujuan itu.

“Namun, selang beberapa hari, saya terbaca satu program yang baru diperkenalkan kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), iaitu pengurus kediaman.

“Program itu bertujuan membantu majikan mendapatkan khidmat pembantu rumah terlatih dan profesional iaitu produk YPKT,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.

“Saya sangat bersyukur apabila calon yang disaran YPKT, iaitu Nur Farhani Alias bersetuju bekerja dengan saya dan menjaga 2 anak saya, terutama anak istimewa saya, Ahmad Thaqif Amzar,” katanya memulakan bicara.

Nur Farhani, 24, memulakan tugas di rumahnya pada 1 September 2015 dan Huzairi mengakui kecekapan Nur Farhani dalam menjaga serta menguruskan keperluan anak istimewanya itu.

“Bila kawan-kawan dan saudara mara datang berkunjung ke rumah, mereka juga tertarik dengan konsep dilaksanakan YPKT ini dan setakat ini, 5 kawan saya sudah mendapatkan khidmat pengurus kediaman dari YPKT setelah mengalami pelbagai masalah dengan pembantu rumah mereka sebelum ini,” katanya.

Bagi Nur Farhani pula, beliau semakin selesa bergelar pengurus kediaman kerana waktu kerja lebih fleksibel, gaji lumayan dan majikan sangat memahami dirinya bagaikan keluarga sendiri.

Sebelum ini, beliau bekerja di pasar raya dan mempunyai jadual kerja syif yang kadangkala menyebabkannya tidak mempunyai rehat cukup, malah gaji hanya “cukup makan”.

“Sehinggalah saya terbaca iklan mengenai pengambilan pengurus kediaman di YPKT, saya tergerak hati mahu memohon pekerjaan itu kerana tertarik dengan inisiatif dan pelbagai kemudahan disediakan,” katanya yang menjalani kursus asas selama 10 hari anjuran YPKT sebelum bekerja.

Nur Farhani tidak menafikan pada peringkat awal, beliau agak kekok menjaga kanak-kanak istimewa itu, namun berkat sokongan keluarga Huzairi dan belajar kaedah penjagaan betul, beliau mula seronok dan tercetus perasaan sayang.

“Mulanya saya menjaga Thaqif hanya sekadar menunaikan tugas sahaja, lama-kelamaan timbul perasaan sayang kepadanya dan saya ikhlas menjaga makan minumnya serta berusaha menggembirakan dia sepanjang ketiadaan ibu bapanya ketika keluar bekerja.

“Suami saya, Mohamad Arif Hafizan, juga sentiasa memberi sokongan moral untuk saya memberi perkhidmatan terbaik di rumah ini dan pastinya pekerjaan ini adalah ‘universiti kehidupan’ saya dalam mengejar cita-cita membuka taska khas untuk kanak-kanak istimewa senasib Thaqif,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.