
Tempoh reman sehingga 26 November ke atas suspek lelaki berusia 38 tahun itu dikeluarkan Majistret Hurman Hussain di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh hari ini.
Penahanan reman itu dibuat bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan ke atas suspek mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Terdahulu suspek yang memakai baju lokap SPRM berwarna jingga dengan tangan bergari tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 11.00 pagi diiringi pegawai SPRM.
Semalam media melaporkan suspek yang bertugas di PPK Merlimau, Jasin ditahan kira-kira 3.00 petang di Pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri, Jalan Hang Tuah.
Penahanan lelaki itu dibuat selepas disyaki menyeleweng Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) bernilai kira-kira RM2.54 juta melibatkan 56,700 kampit baja, sejak awal tahun lepas.