‘Berambus dari negara ini’, Bung Moktar selar hotel larang pekerja bertudung

‘Berambus dari negara ini’, Bung Moktar selar hotel larang pekerja bertudung

Ahli parlimen Kinabatangan itu berkata pengusaha dan pengurusan hotel di negara ini terlalu biadap dan perlu diajar berniaga ikut cara Malaysia.

bung
KUALA LUMPUR:
Pengusaha hotel yang enggan mematuhi undang-undang dan masih menetapkan larangan pemakaian tudung bagi wanita Islam yang bertugas di “frontdesk” diminta agar “berambus” dari negara ini.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata, tidak masuk akal untuk pengusaha hotel lakukan penindasan secara terbuka kepada pekerja Islam yang memakai tudung.

“Bagi saya pengusaha dan pengurusan hotel ini terlalu biadap di negara kita, mereka perlu diajar. Kalau mereka mahu tunjukkan cara berniaga ikut cara mereka, mereka boleh berambus.

“Di negara ini, kementerian harus mengambil perhatian dan tindakan tegas kepada mana-mana pengusaha hotel. Panggil mereka (pengusaha hotel) dan berikan amaran.

“Orang Malaysia berniaga di Amerika Syarikat, kita kena ikut cara mereka, tidak boleh ikut cara kita. Mereka datang ke negara kita, kena ikut peraturan negara kita,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 untuk Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Baru-baru ini Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mendedahkan ramai kakitangan hotel mengadu mengenai diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarahkan menanggalkan tudung mereka.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) akui perkara berkenaan dan mempertahankan larangan berkenaan yang dikatakan sebahagian daripada polisi antarabangsa dan bukannya diskriminasi.

Bung juga mengesyorkan agar KPKT menggubal undang-undang di Dewan Rakyat berkaitan pemberian lesen kepada pengusaha hotel agar hak wanita Islam bertudung tidak dinafikan.

“Saya mahu syorkan kerajaan lihat isu ini secara serius. Kita gubal, kita ubah, kita undi. Saya percaya rakan-rakan di sebelah sana (pembangkang) akan menyokong akta ini.

“Langkah yang mesti diambil adalah mesti tarik lesen (pengusaha hotel) melainkan mereka ubah cara pentadbiran. Kalau tidak diajar, mereka datang ke negara orang, mereka tindas orang,” katanya.

Tambahnya, beliau sendiri mendapat aduan daripada pekerja Islam yang berkhidmat dalam sektor perhotelan di mana potensi wanita Islam bertudung tidak berkembang sekaligus menyebabkan tekanan emosi.

“Jangan orang luar kaut keuntungan, kita turut tepuk tangan tetapi kita tidak bela nasib rakyat kita. Apa masalahnya kalau pakai tudung, kalau dia perempuan cantik, bila pakai tudung tetap cantik,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz menyifatkan tindakan sedemikan sebagai kurang ajar dan tidak bertanggungjawab.

“Kurang ajar dan tidak bertanggungjawab. Kalau benar ini satu arahan, ia jelas melanggar Perlembagaan negara.

“Adakah kalau telanjang dan berbogel itu lebih baik daripada bertudung jika duduk di kaunter? Kalau ada rakyat Malaysia hendak pertahankan, dia kurang ajar,” kata Nazri.

Nazri: Kurang ajar larang pekerja hotel bertudung

Cenbet: Cara berpakaian hak peribadi pekerja

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.