
Bekas menteri Tan Sri Syed Hamid Albar berkata soalan sensitif yang dianggap mampu menggugat pentadbiran akan tetap dijawab kerajaan dalam sesi perbahasan atau pertanyaan lisan, walaupun kadang kala jawapan yang diberi tidak disenangi wakil rakyat pembangkang.
“Misalnya isu Bumiputra Malaysia Finance (BMF) dan dagangan mata wang asing. Semua dibincangkan. Kerajaan akan bentang atau edarkan jawapan,” katanya kepada FMT.
Hamid bertanggungjawab menjaga urusan Parlimen sekitar tahun 1990 hingga 1995. Beliau berkata isu tersebut, yang masih dikaitkan dengan Dr Mahathir pada hari ini, harus dibahas ketika itu kerana ia melibatkan kerugian yang besar.
“Atas permintaan Ahli Parlimen termasuk kerajaan, kita fikir ia perkara penting. Laporan kita serah kepada kerajaan untuk dibentangkan di Dewan Rakyat dan diserah untuk dibahas dan dibincangkan,” katanya.
Syed Hamid bagaimanapun akui beberapa isu berkaitan institusi raja-raja, agama dan perkauman terpaksa ditolak demi menjaga perpaduan rakyat berbilang kaum, agama dan fahaman di negara ini.
Skandal BMF menggemparkan awal 1980-an apabila cawangan bank di Hong Kong didapati mengeluarkan dana kepada berbilion ringgit kepada spekulator hartanah, Carrian Investment Limited. Ratusan juta dolar hilang apabila Kumpulan Carrian terkubur pada 1983, menjadikan kes itu kemuflisan terbesar dalam sejarah Hong Kong.
Lebih menggemparkan seorang juruaudit Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB), syarikat induk kepada BMF, yang dihantar untuk menyiasat penyelewengan dalam transaksi mati dibunuh, dan kerajaan terpaksa menyuntik berbilion ringgit untuk membantu BBMB.
Manakala skandal dagangan mata wang menyentuh mengenai kerugian yang dialami Bank Negara Malaysia (BNM) antara 1991 dan 1993 yang dikatakan sehingga AS$10 bilion (kira-kira RM25 bilion mengikut kadar tukaran ketika itu. Skandal itu berlaku ketika Tun Daim Zainuddin (1986-1991) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (1991-1998) menjadi menteri kewangan.
Bincang dulu kemudian OSA
Perkara sama turut dirasai bekas pengarah Biro Tata Negara (BTN), Datuk Johari Abdul. Beliau berkata isu sensitif seperti skandal BMF dan dagangan mata wang asing dibawa ke Parlimen dan dibincangkan oleh blok kerajaan dan pembangkang.

Beliau berkata Dr Mahathir tidak mengelaskan isu kontroversi bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) tanpa dibincangkan terlebih dahulu di Dewan Rakyat.
“Sebutlah apa pun mengenai Dr Mahathir, dia tidak buat begitu. Tetapi kini, laporan ketua audit negara yang bersifat sensitif diletakkan bawah OSA,” katanya.
Johari merujuk kepada tindakan mengelaskan laporan audit akhir tentang 1MDB bawah OSA pada Mac 2016. Dikatakan Ahli Parlimen Tony Pua, salah seorang ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang turut membuat pendengaran isu 1MDB tidak mengetahui isu kandungan laporan audit itu.
Lali soalan ditolak
Ketika ini, wakil rakyat pembangkang mengkritik kerajaan kerana tidak dapat memberikan jawapan tepat atau mengelak menjawab isu sensitif seperti 1MDB dan GST ketika berbahas di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin berkata beliau sendiri sudah lali apabila soalan yang diajukan kepada menteri bertanggungjawab tidak dijawab.
“Contohnya pada sidang Dewan Rakyat lepas, berkaitan 1MDB. Saya minta pengesahan mengenai nombor akaun perdana menteri yang dikatakan menerima wang dengan jumlah tertentu, tetapi tidak dijawab,” katanya.
Hanipa berkata soalan jenis lain pula dijawab secara berfakta berserta statistik.
“Soalan dijawab adalah soalan yang kita panggil ‘soalan JKKK’ (jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung) seperti isu lampu jalan, kesesakan jalan raya, longkang tersumbat,” katanya.

Sementara itu, bekas timbalan menteri Datuk Ibrahim Ali juga pernah mengalami detik soalannya tidak dijawab kerajaan.
“Namun, dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat, budi bicara dan ketegasan speaker diperlukan memandangkan peraturan mesyuarat di dewan begitu ‘rigid’ dan ia perlu diubah,” katanya.