
Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman menyifatkan bajet negeri itu paling inklusif, mengambil kira setiap lapisan rakyat dan segmen masyarakat.
“Sebut sahaja daripada golongan mana, pasti mendapat manfaatnya.
“Alhamdulillah, dengan peruntukan RM4.1 bilion dalam bajet negeri akan menyantuni juga keperluan semua lapisan rakyat di Sabah,” katanya pada majlis perasmian Pakej Kerja Ke-6 Projek Lebuhraya Pan Borneo oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini.
Beliau berkata, peruntukan RM6.8 bilion yang diperuntukkan untuk projek pembangunan di Sabah dan Sarawak akan memberi manfaat dan kesejahteraan kepada kedua-dua negeri itu.
Mengenai Pakej Kerja Ke-6 Projek Lebuhraya Pan Borneo, Musa berkata, komitmen perdana menteri dalam membina projek infrastruktur rakyat amat dihargai.
“Inilah aku janji kerajaan Barisan Nasional. Kita bukan sahaja berjanji, tetapi juga benar-benar melaksanakannya.
“Dengan adanya jalan raya yang selesa, maka kita akan menyaksikan pembangunan yang semakin pesat dan rancak di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata, rakyat harus bersyukur memiliki perdana menteri seperti Najib yang sentiasa prihatin dan mendengar serta memberi pertimbangan sewajarnya terhadap keperluan rakyat.
“(Najib) pemimpin yang paling banyak menyalurkan peruntukan pembangunan untuk membantu rakyat di Sabah,” katanya.
Ekonomi mengukuh, Musa umum peruntukan program rakyat naik 100%, bonus