
Malah, Faisal berkata langkah itu boleh menghalang pertumbuhan bahasa itu.
Menurutnya, ramai orang membuat kesilapan dalam menggunakan Bahasa Melayu termasuk menteri, ahli politik, peguam dan selebriti.
“Dalam bahasa, anda perlu membiarkan ia berkembang. Bahasa sentiasa berkembang, ia kerap berubah kerana ia mengalami transformasi,” kata Faisal, nama pena untuk Dr Mohd Faizal Musa, felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Faisal berkata masyarakat akan sentiasa mengubah istilah dalam penggunaan bahasa, termasuk meminjam daripada bahasa lain.
“Sebagai contoh, orang masih tidak tahu bagaimana menggunakan perkataan ‘swafoto’,” katanya merujuk istilah DBP untuk “selfie”.
DBP baru-baru ini dilaporkan akan diberi kuasa untuk mengenakan denda menerusi pindaan terhadap Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996.
Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adzis Abas dilaporkan berkata, kerajaan mencadangkan supaya DBP mengambil tindakan terhadap penggunaan bahasa Melayu yang tidak betul, termasuk dalam iklan atas talian, di mana denda sehingga RM1,000 boleh dikenakan.
Ia sebagai usaha mencegah “pencemaran bahasa” dan mendidik masyarakat tentang penggunaan bahasa kebangsaan dengan betul.
Bagaimanapun, Faisal yang banyak menulis buku dan karya sastera, mempersoalkan bagaimana pihak berkuasa hendak melaksanakan denda tersebut.
“Sekiranya ia akan dikenakan tidak lama lagi, kami memerlukan butiran tentang bagaimana ia akan dilaksanakan.
“Kita tidak tahu bagaimana kita akan dikenakan denda jika kita menggunakan bahasa tersebut dengan salah.”
Menurutnya, mengenakan denda terhadap penggunaan bahasa tidak betul dalam iklan sama ada atas talian atau di papan tanda lebuh raya masih boleh dilaksanakan.
“Tetapi untuk mengenakan denda ke atas orang biasa yang menulis di Facebook atau status atas talian, tidak masuk akal bagi saya.”
Beliau mempersoalkan bagaimana masyarakat akan menukar slanga yang digunakan dalam bahasa Melayu seperti “amoi” dan “gua”.
“Bahasa basahan ini telah lama wujud.”
Faisal berkata kerajaan sebaliknya perlu menumpukan usaha untuk memelihara bahasa minoriti, contohnya di Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa), Ishak Hamzah mencadangkan agar lebih banyak kempen mengenai kepentingan menggunakan Bahasa Melayu dengan betul dilakukan sebagai permulaan.
“Kita mungkin melihat banyak kempen mengenai kepentingan penggunaan bahasa Melayu yang betul tetapi masyarakat mungkin tidak tahu tentang ini.
“Kita boleh terus berbuat demikian sehingga kita berpuas hati, kemudian baru mengenakan hukuman,” katanya sambil menambahkan usaha ini harus dilakukan secara bertahap dan hanya setelah peringatan diberikan.
Bagi Ishak, mengenakan denda akan membantu mengekalkan kualiti bahasa kebangsaan.