Jualan sate di Kajang melambung sebab MRT, kata Najib

Jualan sate di Kajang melambung sebab MRT, kata Najib

Mereka yang sebelum ini menentang pembinaan MRT juga berpuas hati dengan kelebihan yang diterima selepas MRT siap dibina, kata perdana menteri.

najib-sate-kajang
KUALA LUMPUR:
Jualan peniaga sate di Kajang melambung susulan pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT) yang melalui kawasan itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Perumpamaan itu digunakan Najib bagi menunjukkan bagaimana pembinaan projek mega itu memberikan kelebihan kepada rakyat.

“Saya diberitahu mereka yang menjual sate di Kajang pun penjualan sate melambung lebih tinggi kerana adanya laluan MRT.

“Saya nak rakyat sedar bahawa sebagai kerajaan kita mampu ‘deliver’ MRT. Saya nak beritahu, bukan senang (bina MRT). Banyak negara sebut nak MRT sendiri, tapi hari ini bayang pun tak nampak. Mereka tak mampu buat.

“Kita bila janji nak buat, kita buat, siap lebih awal, dan kos penjimatan RM2 bilion,” katanya ketika merasmikan Expo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka malam tadi.

Tambahnya, mereka yang sebelum ini menentang pembinaan MRT juga berpuas hati dengan kelebihan yang diterima selepas MRT siap dibina.

“Malah ramai yang datang jumpa saya menyesal mereka tiada laluan MRT. Mereka kata bila MRT nak lalu di kawasan kami. Sebab mereka tahu kalau ada MRT penghuni kawasan senang, kurang kesesakan jalan malah nilai harta sama ada rumah, kondominium, semuanya bertambah lebih tinggi nilainya,” kata Najib.

Najib berkata, MRT juga kayu pengukur keupayaan kerajaan merealisasikan janji kepada rakyat.

“Justeru kalau MRT kita boleh buat takkan yang lain kita tak boleh buat. Banyak lagi kita boleh buat dan kita akan buat.

“Kita nak rakyat menilai segala yang kita lakukan dalam bentuk infra rakyat ini. Sebab itu saya tukar istilah. Bukan infrastruktur tapi infra rakyat, kerana apa sahaja kita lakukan untuk rakyat. Kenapa kita bersusah payah buat MRT tak lain tak bukan kerana rakyat,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.