
Menggambarkannya sebagai undang-undang yang menjelikkan, beliau berkata dalam satu kenyataan beberapa bulan lalu, beberapa individu di Pulau Pinang dan di tempat lain ditangkap dan ditahan di bawah Sosma kerana didakwa menjadi anggota kumpulan tertentu.
“Semua mereka terseksa di dalam penjara tanpa sebarang tindakan undang-undang. Walaupun kes mereka diputuskan oleh mahkamah, ia mengambil masa yang agak lama.
“Malangnya, kebanyakan yang ditangkap adalah masyarakat India.”
Beliau berkata beberapa ahli keluarga tahanan memberitahu keadaan tahanan begitu menyedihkan di dalam penjara.
“Kebanyakan mereka mengalami masalah berkaitan kesihatan dan tidak tahu apa nasib mereka.”
Beliau juga mempersoalkan sama ada penangkapan kaum India yang dikaitkan dengan gangsterisme itu ada kaitan dengan pemprofilan kaum.
Ramasamy yang juga timbalan ketua menteri II Pulau Pinang berkata, Sosma tidak mempunyai tempat di mana-mana negara yang mahu dilabelkan sebagai demokratik dan progresif.
“Dalam erti kata lain, seperti ISA, Sosma menjadi instrumen yang berguna di tangan eksekutif untuk menangkis potensi ancaman terhadap hegemoni.”
Cuma yang berbeza, katanya, walaupun ISA menyediakan penahanan selama 60 hari, tetapi di bawah Sosma ia dikurangkan kepada 28 hari.
“Sosma mungkin mengurangkan tempoh tahanan, tetapi mereka yang ditahan oleh undang-undang ini tidak mempunyai hak untuk dijamin keluar, dengan beberapa pengecualian.”
Tahanan Sosma, katanya, terpaksa menunggu lama untuk sabitan mereka dicabar di mahkamah. Ahli keluarga tidak mempunyai peluang untuk bersemuka dengan mereka yang ditahan, dan hanya boleh berbual melalui telefon yang dipisahkan oleh dinding penjara.
“Perbualan antara ahli keluarga dan tahanan dipantau rapi sehingga tidak ada perbualan yang bermakna.
“Walaupun undang-undang memperuntukkan selama 28 hari tanpa perbicaraan, tahanan berpeluang untuk dipenjara selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun, hanya kerana kelewatan dalam proses mahkamah.
“Kemungkinan ada sesetengah tahanan tidak bersalah atas tuduhan terhadap mereka, tetapi tidak mempunyai pilihan selain menghabiskan masa dalam tempoh reman,” kata Ramasamy.