
Centre For A Better Tomorrow (Cenbet) berkatatiada seorang pun perlu diberitahu apa yang perlu dipakai selagi ia tidak melanggar undang-undang.
Presiden Cenbet, Gan Ping Sieu berkata selagi pakaian itu tidak menghalang seorang pekerja menjalankan tugas mereka dengan berkesan, ia tidak boleh diharamkan.
Beliau berkata demikian mengulas larangan bertudung bagi wanita Islam yang bekerja di barisan depan sektor perhotelan.
Katanya, hanya kerana peraturan itu diguna pakai sekian lama, ia tidak bermakna peraturan itu betul.
“Pengendali hotel tempatan dan pengurusan rangkaian hotel antarabangsa perlu lebih fleksibel dalam mengenakan kod pakaian kepada pekerja.
“Selain meminta ibu pejabat mereka mengetepikan larangan tersebut kerana industri perhotelan harus mencerminkan kepelbagaian dalam negara.
“Malah Islam merupakan agama rasmi negara ini dan tidak masuk akal mengharamkan pemakaian tudung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahad lalu, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan berkata dasar larangan tersebut mungkin perlu diteliti bagi memastikan keadilan kepada semua pihak yang terlibat.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yang mempertahankan tindakan pengusaha hotel yang melarang pekerja wanita yang bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan.
Langkah itu dikatakan sebahagian daripada polisi antarabangsa dan bukannya diskriminasi.
Baru-baru ini Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia mendedahkan ramai kakitangan hotel mengadu mengenai diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam dengan diarahkan menanggalkan tudung mereka.
Sementara itu, Gan berkata campur tangan dalam soal pakaian turut dilakukan oleh pegawai kerajaan, dengan memberi contoh insiden wanita yang dilarang masuk ke pejabat kerajaan.
“Pegawai kerajaan ini cuba memaksa nilai mereka ke atas cara orang awam berpakaian, dan kelakuan mereka tidak ada beza dengan syarikat antarabangsa yang mengenakan kod pakaian tanpa mengambil kira sensitiviti tempatan,” katanya.
Larangan bertudung pekerja hotel barisan depan tidak adil, kata Umno