Krisis politik Saudi tak jejas pusat lawan keganasan di Malaysia

Krisis politik Saudi tak jejas pusat lawan keganasan di Malaysia

Menteri pertahanan berkata pusat itu hanya akan dilancarkan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

hisham-kscip-2
KUALA LUMPUR:
Hanya Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, akan melancarkan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang dinamakan sempena bapanya, Raja Salman Abdul Aziz, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Kita tunggu Putera Mahkota Mohammed… tiada masalah,” katanya ketika ditanya sama ada krisis politik di Arab Saudi yang menyaksikan penangkapan beramai-ramai kerabat diraja dan tokoh berpengaruh awal bulan ini tidak akan mengganggu pelancaran pusat itu.

Hishammuddin tidak menyatakan tarikh khusus untuk melancarkan KSCIP.

KSCIP diilhamkan susulan kunjungan Raja Salman ke Malaysia pada Mac lalu sebagai usaha melawan pengaruh IS.

Kerajaan Malaysia turut memperuntukkan tanah seluas 16 hektar di Putrajaya untuk membina pusat tersebut, walaupun butir lanjut, termasuk siapa staf KSCIP masih tidak diumumkan.

Hishammuddin berkata krisis di Arab Saudi, yang dilihat sebagai usaha Putera Mohammed untuk memperkuatkan pengaruhnya sebelum menaiki takhta, tidak akan menjejaskan pelancaran KSCIP.

“Saya rasa agenda kita dalam naratif berdepan IS tidak bermusim. Kita akan teruskan dengan apa yang dirancang. Pelancarannya saya dah minta Mohammed datang sendiri untuk melancarkannya,” kata Hishammuddin.

Minggu lalu, FMT melaporkan butiran mengenai KSCIP masih samar walaupun selepas 4 bulan ia diumumkan kerajaan.

Antara yang terlibat dalam penubuhan KSCIP ialah Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) yang akan bekerjasama dengan sebuah institut di bawah Kementerian Pertahanan Arab Saudi, Markaz Harb Fikriah (Pusat Peperangan Ideologi).

Turut terlibat ialah Rabitah Alam Al-Islami (Liga Muslim Dunia), sebuah pertubuhan yang aktif dalam kegiatan dakwah di seluruh dunia, tetapi mengundang kontroversi berkaitan dengan menyebarkan fahaman Wahabi, aliran Islam yang menjadi pegangan pihak berkuasa Arab Saudi untuk sekian lama.

Pusat lawan IS di Putrajaya tunggu putera Saudi, staf dirahsiakan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.