KBAT di tahap lebih baik 3 tahun lagi, kata Mahdzir

KBAT di tahap lebih baik 3 tahun lagi, kata Mahdzir

KBAT bukanlah satu program yang kejayaannya boleh berlaku dalam sekelip mata, menurut menteri pendidikan.

Mahdzir-Khalid-Higher-Order-Thinking-Skills
PUTRAJAYA:
Penguasaan pelajar dan guru terhadap amalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) akan berada pada tahap lebih baik dalam tempoh 3 tahun akan datang, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, sebagai satu proses atau kaedah berfikir yang dimasukkan dalam pengajaran di sekolah, KBAT bukanlah satu program yang kejayaannya boleh berlaku dalam sekelip mata.

Melalui KBAT, katanya pelajar disasarkan mempunyai kebolehan berfikir dan menjawab dengan cepat serta mampu berkomunikasi terhadap perkara yang disoal.

“Contohnya, bila diletakkan gambar labu sayung, kita mahu pelajar segera memberi takrifan kepada labu sayung seperti berasal dari Perak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Bacaan Ikrar Rukun Negara di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (2) hari ini.

Majlis bacaan ikrar itu, yang juga diadakan serentak di sekolah seluruh negara anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup.

“KBAT adalah satu proses yang bermakna amalannya perlu mengambil masa sebelum kejayaan sebenar dapat dilihat.

“Dalam hal kegagalan KBAT, kita tidak salahkan guru, pelajar dan sistem sebab ia adalah satu proses, malah dalam mencapai matlamat pelaksanaannya, para guru sentiasa dilatih secara berterusan agar dapat memahami budaya KBAT sepenuhnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.