
Sebaliknya, fokus perhimpunan yang akan berlangsung 5-9 Disember ini ialah pilihan raya umum akan datang.
Hishammuddin mengingatkan perwakilan mengenai faktor “feel good” terutama menyentuh pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.
“Kita ambil contoh bajet. Itu kalau tak ‘feel good’ tak taulah. Inilah akan dikupas dan dibentangkan supaya jangan kita beralih pandang daripada yang kita jayakan,” katanya kepada media di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Antara cadangan usul berkaitan politik adalah pemilihan parti untuk jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan dalam pemilihan Umno akan datang.
Hishammuddin berkata sebanyak 826 usul dikemukakan oleh 191 Umno Bahagian di seluruh negara, di mana 635 daripadanya diterima untuk rujukan.
Daripada 635 usul yang diterima untuk rujukan, 238 adalah usul politik, 79 usul ekonomi, 40 usul agama, 97 sosial, 114 pendidikan, dan satu berkaitan pindaan perlembagaan parti. Sebanyak 191 usul diterima tanpa bahas manakala tiada usul yang ditolak.
Antara usul ekonomi ialah mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST), manakala antara usul agama dan pendidikan ialah pindaan terhadap peruntukan Seksyen 13A(2) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA) 1957, mengenai kesahtarafan anak yang menurut mahkamah turut terpakai untuk umat Islam.
“Tiada usul ditolak, semua usul yang akan dibahaskan datang daripada akar umbi Umno. Apa yang kita kupas dan gubal adalah mengambil kira pandangan ahli di peringkat bahagian,” kata Hishammuddin.