
“Untuk pengetahuan, dalam kerajaan persekutuan susun strategi pelaburan, kita mementingkan kesan ekonomi. Kalau orang beli jet peribadi, kapal layar peribadi, maka dia kena bayar GST.
“Ia dibuat setelah mengambil kira kesan implikasi kepada ekonomi dan pelaburan. Itu (pembelian jet dan kapal layar peribadi) memang akan dikenakan GST,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Wong Chen (PKR-Kelana Jaya) yang ingin tahu sama ada jutawan kontroversi, Low Taek Jho dikenakan GST untuk pembelian kapal layar peribadinya.
Berdasarkan pengiraan, Equanimity jika dibeli di Malaysia, Jho Low perlu membayar GST sebanyak RM62.85 juta pada kadar RM4.19 bagi AS$1.
The Equanimity dilaporkan menelan belanja kira-kira AS$250 juta (RM1.069 bilion) dan dibina oleh Oceanco dengan kerjasama Azure Naval Architects di Rotterdam, Belanda pada 2014.
Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat dalam saman terbarunya menyatakan The Equanimity merupakan antara sasarannya kerana ia didakwa dibeli dengan dana diseleweng daripada 1MDB.
Menurut pemfailan DoJ di mahkamah AS, Equanimity mempunyai sauna, bilik urut, kolam renang dan ruang tamu besar.