Jason Lo: Sayalah yang ditangkap di Dubai, tetapi…

Jason Lo: Sayalah yang ditangkap di Dubai, tetapi…

Penyanyi yang mengetuai Tune Talk itu berkata beliau menjadi mangsa disebabkan kelewatan seorang anggota polis Dubai memberi kenyataan.

jason-lo
PETALING JAYA:
Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Jason Lo malam tadi tampil mengakui beliau individu yang ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai pada September 18, tetapi menafikan ia kerana penemuan dadah dalam bagasinya.

Sebaliknya, Jason berkata beliau dihantar ke lokap polis apabila membantu kawannya yang cuba meleraikan pergaduhan dengan seorang lelaki, yang kemudiannya beliau dapati adalah seorang pegawai polis tanpa seragam.

“Saya mendarat di Dubai. Di lapangan terbang, kawan saya cuba memberhentikan pergaduhan. Kemudian dia dipukul menyebabkan saya berdepan lelaki itu yang sebenarnya merupakan seorang anggota polis,” Jason dipetik portal The Edge Markets.

“Saya dihantar ke lokap dan lelaki ini pula berminggu-minggu menangguhkan kenyataannya. Ia amat teruk. Tidak seteruk semua khabar angin yang saya dipenjarakan atas pelbagai sebab lain,” katanya.

Semalam, Harian Metro memetik seorang sumber mengatakan seorang CEO syarikat telekomunikasi ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai pada 18 September kerana memiliki dadah apabila tiba dari Amsterdam, Belanda.

Laporan itu berkata individu itu pulang ke Malaysia pada Selasa selepas menjalani hukuman di penjara Al Aweer, UAE.

Ketika dihubungi, polis Dubai memberitahu FMT pihaknya tidak dapat memberikan butiran, sebaliknya perlu “melalui saluran diplomatik”.

Usaha mendapatkan pengesahan daripada Wisma Putra, Kementerian Dalam Negeri dan polis Malaysia juga menemui jalan buntu, dengan masing-masing mengatakan mereka tidak tahu mengenai kes tersebut.

Dubai menjadi tuan rumah sebuah persidangan telekomunikasi antarabangsa, “Telecoms World Middle East 2017” yang berlangsung September 19-20, di mana Jason disenaraikan sebagai salah seorang yang berucap.

Ketika dihubungi untuk mengesahkan laporan itu, Tony Fernandes, pengasas Kumpulan Tune yang memiliki Tune Talk, menafikan Jason ditangkap.

“Tidak ada… mana kamu dapat maklumat mengarut itu?” jawabnya kepada FMT.

Menurutnya, beliau baru sahaja bercakap dengan Jason.

“Dia pergi bercuti. Dia akan membuat sesuatu yang baharu untuk saya,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.