
Kambing biri-biri dilatih untuk mengenal dan mengecam muka selebriti serta ahli politik untuk membuktikan haiwan ini mungkin lebih pintar daripada apa yang disangkakan.Usaha ini berjaya apabila biri-biri itu mengenali wajah bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama selepas gambarnya ditunjukkan beberapa kali.
Selain Obama, 3 lagi wajah selebriti digunakan untuk menguji kemahiran pengecaman wajah iaitu pelakon Harry Potter Emma Watson, pengacara TV British Fiona Bruce dan pelakon AS Jake Gyllenhaal.
Penyelidik dan penulis jurnal sains, Jennifer Morton dari University of Cambridge berkata kepada AFP, mereka hanya memilih individu ini kerana terdapat banyak imej dalam talian, dalam pandangan depan, belakang sisi dan sebagainya.
“Kami juga memilih mereka kerana percaya biri-biri ini tidak pernah bersemuka dengan mereka (ahli politik dan selebriti),” kata Morton berjenaka.
Morton dan pasukannya melatih 8 biri-biri untuk mengenali wajah dari foto sudut depan masing-masing.
Setiap kali seekor haiwan meneka wajah selebriti dengan betul, ia akan diberikan ganjaran makanan.
Dalam ujian berikutnya, biri-biri tersebut didapati boleh mengecam dengan betul 8 daripada 10 kali.
Haiwan itu dicabar semula dengan menunjukkan gambar selebriti yang sama, tetapi foto baharu dari sudut berbeza.
Ketepatan kambing menurun kepada 66%, malah menyerupai kemampuan manusia apabila membuat pengecaman sama petik jurnal Royal Society Open Science.
“Keupayaan mengecam seseorang dari gambar 2D (2 dimensi) itu mengejutkan, kerana ia memerlukan pemprosesan otak yang kompleks,” kata Morton.
Dalam tugas ke-5 dan terakhir, haiwan itu ditunjukkan gambar pengedali makmal yang mereka temui setiap hari dan dikenali dengan baik, cuma tidak pernah melihat gambar foto.
Awalnya mereka hadapi kekeliruan tetapi berjaya mengesan dengan baik.
“Kita salah jangka kemampuan haiwan ini. Kajian ini membuktikan keupayaan perilaku haiwan yang mengejutkan,” kata Morton.
Pengecaman wajah adalah kemahiran sosial kritikal manusia. Kita dapat mengenal pasti orang yang dikenali dalam masa milisaat melihatnya.
Banyak haiwan lain yang terkenal dengan bakat sama termasuk kera, kuda, anjing, burung gagak dan terbaharu, kambing biri-biri.