Zakir Naik akan dihantar pulang jika India mohon, kata Zahid

Zakir Naik akan dihantar pulang jika India mohon, kata Zahid

Menteri dalam negeri mengesahkan tiada permohonan kerakyatan daripada Zakir.

zahid-hamidi_zakir-naik_600
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan Putrajaya akan menghantar penceramah kontroversi Zakir Naik pulang ke India jika dipohon pihak berkuasa negara itu.

“Jika India memohon ekstradisi dikenakan berdasarkan kepada Bantuan Perundangan Bersama (MLA kita akan hantar beliau. Setakat ini tidak ada permohonan yang berkenaan,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan 2018 di Dewan Rakyat hari ini.

Zahid, yang juga menteri dalam negeri, mengesahkan setakat ini tiada permohonan kerakyatan daripada Zakir.

Beliau menjawab pertanyaan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) yang membacakan artikel The Hindustan Times bertarikh 30 Mei 2017 yang melaporkan Zakir dikehendaki Agensi Penyiasatan Kebangsaan (NIA) dan memohon kerakyatan Malaysia.

“Zakir dikehendaki di India atas tuduhan terorisme dan adakah itu diambil kira dalam membuat keputusan ke atas permohonan itu,” kata Gobind.

Pihak berkuasa di India menjelaskan Zakir dikehendaki atas dakwaan membiayai terorisme dan menolak dakwaan beliau disasarkan kerana kepercayaan agamanya. NIA akhirnya memfailkan pendakwaan terhadap penceramah kontroversi itu di mahkamah minggu lalu, lapor the Times of India.

Penceramah berusia 52 tahun itu dilaporkan didakwa di bawah Akta Kegiatan Menyalahi Undang-Undang (Pencegahan) kerana mengetuai “persatuan haram”; beliau juga didakwa menghasut belia melakukan keganasan dan menyertai kumpulan pengganas global seperti IS.

Memetik kertas pendakwaan itu, portal itu melaporkan NIA sebagai berkata ucapan Zakir dalam beberapa peristiwa “membawa kepada ketegangan dalam masyarakat…mencetuskan situasi undang-undang dan ketenteraman yang serius”.

Sebelum ini agensi itu dilaporkan menulis kepada Interpol meminta notis merah dikeluarkan untuk menangkap penceramah dan pengasas Yayasan Penyelidikan Islam itu.

Sementara itu, Zahid ditanya mengapa Zakir Naik dibenarkan masuk dan diberi taraf permastautin tetap walaupun tidak fasih berbahasa Melayu dan banyak mengkritik agama lain.

Menjawab pertanyaan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) itu, Zahid berkata isu Zakir Naik tidak fasih berbahasa Melayu tidak timbul kerana tidak disyaratkan dalam permohonan permit masuk dan permastautin tetap.

Zahid berkata Kementerian Dalam Negeri meneliti semua video dan transkrip ucapan Zakir dan “tidak ada satu pun yang mengalakkan keganasan”.

“Interpretasi itu adalah daripada tokoh-tokoh tertentu di luar.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.