‘Pasaran kerja dijangka suram tahun depan’

‘Pasaran kerja dijangka suram tahun depan’

Pakar berkata, syarikat lebih berhati-hati mengambil pekerja baharu, tetapi mereka menjangkakan permintaan baik untuk pekerja berkemahiran IT.

Shamsuddin-Bardan-mef10
KUALA LUMPUR: Pakar menasihatkan bakal graduan dan mereka yang tiada pengalaman kerja bersedia menghadapi cabaran dalam mencari pekerjaan dengan gaji memuaskan kerana pasaran kerja dijangka suram pada 2018.

Pakar berkata, syarikat lebih berhati-hati dalam menawarkan jawatan baharu dan graduan mungkin terpaksa menerima pekerjaan bergaji rendah atau menjadi pemandu bagi perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Uber atau menjalankan perniagaan trak makanan.

Bagaimanapun, pekerja dengan kemahiran dalam bidang teknologi maklumat (IT) masih diperlukan.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, majikan mungkin tidak akan menawarkan jawatan baharu kerana mereka akan terbeban dengan kos operasi tambahan seperti Skim Insurans Pekerjaan (SIP) dan cuti bersalin 90 hari untuk pekerja sektor swasta.

“Kamu boleh menjangkakan banyak syarikat melakukan penstrukturan semula tahun depan akibat kos tambahan,” katanya kepada FMT.

“Syarikat tempatan akan terkesan dengan dasar rantaian bekalan tegas, di mana syarikat perlu mematuhi protokol dan konvensyen antarabangsa mengenai pekerja asing serta menyediakan tempat tinggal, gaji dan faedah lain.”

Bagaimanapun, katanya, graduan masih ada harapan kerana syarikat mungkin mengambil mereka bekerja untuk menggantikan 100,000 pekerja yang bakal mencecah usia 60 tahun depan.

“Ini adalah kumpulan pertama yang sepatutnya bersara pada 2013, tetapi disebabkan lanjutan 5 tahun, mereka akan bersara tahun depan. Ini akan memberi peluang pekerjaan kepada kira-kira 100,000 graduan.”
Beliau meramalkan lebih banyak syarikat akan menawarkan kontrak jangka pendek atau tetap kerana mereka masih berhati-hati terhadap keuntungan dan prospek ekonomi negara.

“Saya menasihatkan mereka yang mahu menukar kerja berfikir 2 kali tahun depan,” katanya.

Shamsuddin berkata, mereka yang berkemahiran IT, terutamanya dalam mengendalikan data bersaiz besar tidak bermasalah mendapat kerja untuk mengisi “kekurangan serius” dalam pasaran.

Prof Hoo Ke Ping, penulis beberapa buku ekonomi antarabangsa menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal di tahap baik, tetapi ia tidak bermakna pekerjaan baharu akan ditawarkan.

“Pasaran eksport untuk minyak kelapa sawit dan perabot adalah baik, tetapi bukannya pasaran domestik.”

Beliau meramalkan sektor awam akan mengurangkan pengambilan pekerja seperti industri perbankan dan beberapa sektor swasta lain.

“Sektor elektronik juga diramalkan tidak baik kerana banyak syarikat Amerika Syarikat dijangka pulang ke sana susulan pembaharuan cukai yang menguntungkan mereka.”

Beliau berkata, sektor pembinaan akan berkembang perlahan dan ini akan memberi kesan kepada hampir 100 sektor berkait rapat dengan pembinaan, seperti pengangkutan, pengeluaran simen dan besi.

Beliau meramalkan ramai graduan akan menjadi pemandu Uber dan perkhidmatan perkongsian kenderaan lain serta mengusahakan perniagaan trak makanan.

Bulan lepas, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2018 mengumumkan pinjaman mudah RM120 juta kepada 1,000 pengusaha trak makanan di bawah program Food Truck 1Malaysia (FT1M).

“Ramai orang muda akan menceburi perkhidmatan penghantaran atas talian kerana semakin ramai orang memilih untuk membeli-belah secara atas talian,” kata Hoo.

Dr Yeah Kim Leng yang merupakan profesor di Sunway University Business School menjangkakan pasaran kerja yang baik untuk pekerja berkemahiran IT, terutamanya dalam bidang kecerdasan buatan (artificial intelligence), e-dagang dan “ekonomi gig”.

“Ekonomi gig” merujuk amalan syarikat mengambil pekerja kontrak dan bebas berbanding pekerja sepenuh masa. Pekerja dibayar untuk setiap kerja yang mereka siapkan.

“Ekonomi gig akan menjadi sesuatu yang besar dan rakyat perlu mencari jalan memanfaatkannya sambil meningkatkan kemahiran mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.