
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan berkata, seramai 23,114 calon akan menduduki ujian itu di 159 pusat peperiksaan di Pulau Pinang.
Di Kedah, seramai 34,672 akan menduduki peperiksaan itu di 261 pusat peperiksaan yang disediakan, katanya dalam khidmat pesanan ringkas kepada Bernama hari ini.
Kamalanathan berkata, kementerian sentiasa memantau secara dekat bencana tersebut dan sehingga kini ia tidak menjejaskan persediaan bagi peperiksaan itu.
Katanya, beliau sudah berhubung dengan pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang dan Kedah bagi mendapat maklumat terkini banjir dan status persediaan JPN dalam menghadapi bencana banjir di negeri tersebut.
“Di Pulau Pinang, hanya 2 pusat peperiksaan terlibat banjir, iaitu Sekolah Menengah Mak Mandin dengan 100 calon akan dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Perai.
“Seramai 400 calon di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Jit Sin akan dipindahkan ke Sekolah Menengah Persendirian Jit Sin dengan 3 trak polis disediakan bagi membantu membawa calon serta kertas peperiksaan ke sekolah tersebut,” katanya.
Peperiksaan SPM berlangsung sehingga 4 Disember ini di 3,363 pusat di seluruh negara membabitkan 443,883 calon.
Dalam pada itu, 45,303 calon peperiksaan Penggal 3 bakal menduduki STPM 2017 di 683 pusat peperiksaan seluruh negara bermula esok hingga 14 November, manakala 50,011 calon pula akan mengambil peperiksaan Penggal 1 STPM 2018 yang dijadual bermula 15 hingga 21 November di 670 pusat peperiksaan.