
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat dipetik China Press sebagai berkata, suspek terbabit ditahan di sebuah pangsapuri di Klang, jam 4 pagi semalam, iaitu 30 jam selepas dia melakukan jenayah itu, susulan laporan polis dibuat mangsa berusia 22 tahun itu.
Dalam kejadian jam 8.30 malam Rabu lalu, mangsa yang berada di sebuah perhentian bas di Seksyen 7 Shah Alam, dihampiri seorang pemandu kereta yang berpura-pura bertanya arah.
Lelaki itu kemudiannya mengacu sebilah pisau ke arah mangsa, sebelum menariknya ke dalam kereta dan membawanya ke sebuah tempat terpencil.
Lelaki terbabit kemudian merogolnya dan mengambil wang tunai RM100 serta telefon bimbit mangsa.
Shafien berkata, hasil siasatan awal, polis percaya suspek melakukan jenayah itu bersendirian.
“Dia mempunyai 1 rekod jenayah lampau pecah rumah dan hasil ujian air kencing negatif untuk dadah.”
Katanya, polis merampas sehelai baju berwarna hitam, sebuah telefon bimbit milik mangsa, sebilah pisau, sepasang kasut dan seluar jeans serta sebuah kereta Proton Saga.
Beliau berkata, suspek direman 7 hari sehingga Khamis depan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 376 dan Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana merogol dan rompak bersenjata.